Maqis utamakan keselamatan pengunjung MAHA 2024

Perbincangan bersama wakil Maqis, agensi kerajaan dan swasta untuk memastikan kelancaran MAHA 2024 yang dipengerusikan oleh Shamsul Akbar.
Perbincangan bersama wakil Maqis, agensi kerajaan dan swasta untuk memastikan kelancaran MAHA 2024 yang dipengerusikan oleh Shamsul Akbar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sekali lagi memainkan peranan penting untuk menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan pengunjung sepanjang berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

MAHA 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara itu akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bermula 11 hingga 22 September 2024.

Sepanjang MAHA 2024 berlangsung, Maqis menerajui Jawatankuasa Keselamatan, Kawalan Trafik dan Kesihatan untuk memastikan kelancaran pameran itu yang dijangka akan dihadiri ratusan ribu pengunjung berikutan ia merupakan penganjuran MAHA yang ke-100.

Menurut Ketua Pengarah Maqis, Shamsul Akbar Sulaiman berkata, Maqis telah menggerakkan kerjasama erat dengan beberapa agensi penting seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Maqis juga bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Mardi Cooperation, Majlis Perbandaran Sepang, Polis Bantuan dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti (Palapes) Universiti Putra Malaysia.

Maqis dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan serta swasta memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung pameran tersebut.
Maqis dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan serta swasta memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung pameran tersebut.

“Kerjasama ini adalah untuk memastikan MAHA 2024 berlangsung dalam keadaan yang teratur, selamat dan mematuhi semua aspek kesihatan dan keselamatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Shamsul Akbar berkata, MAHA 2024 yang bertemakan ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’ akan menjadi tumpuan utama penduduk di negara ini dan luar negara untuk melihat sendiri pameran mega dan hebat itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami bekerjasama dengan PDRM untuk memastikan laluan utama keluar masuk ke tapak MAHA sentiasa berjalan lancar. Kami menjangkakan aliran trafik dijangka meningkat sepanjang pameran ini,” kata Shamsul Akbar.

Beliau berkata, beberapa langkah kawalan trafik juga telah disusun atur untuk meminimumkan kesesakan lalu lintas dan memberikan keselesaan kepada semua pengunjung.

“PDRM juga akan berada di lokasi untuk memastikan keselamatan umum sepanjang acara berlangsung. Pengoperasian ini melibatkan pegawai dan anggota PDRM di dalam dan diluar kawasan Sepang,” tambah Shamsul Akbar.

Persediaan keselamatan

Shamsul Akbar (duduk, dua dari kiri) bersama agensi lain mengadakan rondaan di kawasan MAEPS, Serdang.
Shamsul Akbar (duduk, dua dari kiri) bersama agensi lain mengadakan rondaan di kawasan MAEPS, Serdang.



Menurut Shamsul Akbar, Maqis dengan kerjasama KKM juga menyediakan kemudahan perubatan di enam lokasi di tapak pameran MAHA 2024.

“Maqis mengutamakan aspek kesihatan pengunjung dengan sokongan penuh daripada KKM. Pasukan perubatan sentiasa bersiap siaga untuk memberikan rawatan segera sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Akbar berkata, agensi itu bersama-sama KKM dan APM akan memastikan segala langkah pencegahan kesihatan dipatuhi dan kemudahan rawatan asas.

“Pihak Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Hospital Cyberjaya akan memastikan kes kecemasan dan kesihatan di kawasan acara akan dikendalikan dengan segera dan cermat.

No Image Caption

“Sebagai tambahan, APM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bagi aktiviti air yang akan diadakan semasa pameran MAHA 2024, APM menyediakan bot penyelamat untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” kata Shamsul Akbar.

Beliau berkata, kehadiran mereka untuk memberikan respon pantas sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan bantuan segera.

Patuhi arahan

Menurut Shamsul Akbar, lebih 2,000 ruang pameran dan jualan akan disediakan pada MAHA kali ini, Rela turut serta dalam menjaga keselamatan dan membantu dalam mengawal pergerakan orang ramai.

No Image Caption

“Pengunjung diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan yang diberikan oleh petugas Rela dan semua petugas bagi memastikan MAHA 2024 berjalan lancar.

“Maqis akan memberikan komitmen yang sepenuhnya untuk menjadikan MAHA 2024 sebagai acara yang selamat dan teratur bagi semua program yang akan berlangsung sepanjang pameran berkenaan,” kata Shamsul Akbar.

Beliau berkata, kerjasama dan komitmen antara semua agensi yang terlibat adalah kunci kepada kejayaan pameran itu.

Pengunjung adalah dialu-alukan untuk datang beramai-ramai tetapi pada masa yang sama diingatkan untuk sentiasa mematuhi segala peraturan dan arahan keselamatan yang telah ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!