KBS tidak terkilan pencapaian Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak terkilan dengan pencapaian kontinjen negara yang tidak berjaya mencapai sasaran empat emas ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, prestasi rata-rata atlet secara keseluruhannya memuaskan dan ada dalam kalangan mereka yang berjaya memperbaiki catatan peribadi malah nyaris menyumbang emas untuk negara.

"Seperti Datuk Abdul Latif Romly pada mulanya pegang tempat pertama namun dipintas saat akhir oleh pemenang emas.

"Kita tahu beliau ada kecederaan namun masih lakukan terbaik dan buat catatan musim terbaik,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Latif Romly terlepas peluang mengekalkan emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dalam saingan olahraga para di Stade de France, semalam, selepas dipintas saat akhir oleh Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral dengan catatan 7.51 meter (m).

Atlet dari Perlis itu mencatat lompatan sejauh 7.45m pada percubaan ketiga sekali gus mengatasi catatan musim terbaik 7.30m ketika membawa pulang emas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.

Sementara itu, Hannah berkata, cadangan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bagi menyerahkan semua pengurusan atlet kepada mereka dan persatuan sukan terlibat ketika temasya sukan seperti Sukan Paralimpik tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, keputusan itu tidak boleh dilakukan satu pihak serta perlu berbincang bersama Majlis Sukan Negara, jurulatih dan atlet berhubung cadangan diutarakan Megat D Shahriman.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Megat D Shahriman mahu mengadakan perbincangan bersama MSN bagi mencadangkan agar hanya satu pihak sahaja mengepalai kontinjen negara pada mana-mana temasya sukan.

Hannah juga memaklumkan pascapenilaian prestasi kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik 2024 akan dilaksanakan selepas berakhirnya Le Tour de Langkawi 2024 pada 29 September hingga 6 Oktober ini.

Beliau pada masa sama berkata pihaknya akan menggunakan platform penganjuran temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak dijadual dari 22 hingga 28 September ini bagi aspek pemerkasaan atlet muda.

Malaysia menamatkan cabaran Paris 2024 dengan membawa pulang dua emas oleh jaguh badminton para, Cheah Liek Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg).

Seorang lagi jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli merangkul perak lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) manakala rakan sepasukannya, Eddy Bernard meraih gangsa 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos melabuhkan tirainya malam ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!