Kor Ming kekal jawatan Pengerusi DAP Perak buat tahun ke-11

Kor Ming ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.
Kor Ming ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kekal menerajui DAP Perak buat tahun ke-11 sempena Konvensyen Biasa kali ke-20 parti itu di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.

Jawatan sebagai pengerusi negeri diputuskan secara sebulat suara oleh 15 jawatankuasa baharu yang dipilih pada pemilihan tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Kor Ming berkata, tahun ini DAP Perak mencatat sejarah dalam tempoh 58 tahun pemilihan partinya apabila semua 15 calon jawatankuasa itu menang tanpa bertanding.

Menurutnya, perkara itu menunjukkan keyakinan tinggi yang diberikan semua 2,300 perwakilan dari 331 cawangan seluruh negeri terhadap komitmen dan kepimpinan parti.

"Bagi saya ini satu amanah yang berat dan semestinya semua jawatankuasa perlu memandang serius keyakinan yang diberikan ahli-ahli parti.

"Saya beri jaminan bahawa jawatankuasa ini akan memastikan setiap tindakan dilakukan berbekalkan prinsip 3B iaitu berkhidmat, berbakti dan berjasa demi kesejahteraan rakyat dan negara," katanya.

DAP Perak mencatat sejarah dalam tempoh 58 tahun pemilihan partinya apabila semua 15 calon jawatankuasa itu menang tanpa bertanding.
DAP Perak mencatat sejarah dalam tempoh 58 tahun pemilihan partinya apabila semua 15 calon jawatankuasa itu menang tanpa bertanding.

Konvensyen berkenaan dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Artikel Berkaitan:

Turut mengekalkan jawatan, Datuk Ngeh Koo Ham sebagai penasihat parti dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar sebagai Timbalan Pengerusi DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan ADUN Sungkai, A Sivanesan masing-masing kekal dengan jawatan Naib Pengerusi.

Dalam pada itu, jawatankuasa juga sebulat suara memilih Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh untuk mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha DAP Perak, manakala Penolong Setiausahanya, Jenny Choy Tsi Jen yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Jawatan Bendahari pula disandang Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How dan ADUN Bercham, Ong Boon Piow sebagai Penolong Bendahari.

Turut dipilih menganggotai jawatan dalam parti ialah Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dan dua Exco kerajaan negeri iaitu Teh Kok Lim dan Woo Kah Leong.

Nama lain yang dipilih ialah Steven Chaw Kam Foon (ADUN Menglembu); Goh See Hua (ADUN Pasir Pinji) dan Thulsi Manogaran (ADUN Buntong).

Sementara itu, Kor Ming dalam ucapannya menegaskan barisan kepimpinan DAP telah membuktikan bahawa DAP bukan parti untuk orang Cina, tetapi mewakili pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, katanya, parti lawan perlu sedar dan menghentikan tohmahan kononnya DAP anti Melayu serta menentang raja-raja Melayu.

"Pas lawan UMNO salah DAP, Pas lawan Keadilan salah DAP, esok tak hujan pun salah DAP, berkahwin tak beranak pun salah DAP. Cukuplah kita dihina. Bukan semua salah DAP, apa dosa kita.

"Kita sudah buktikan bahawa kita parti yang disayangi semua kaum. Kita mahu yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!