Tebing sungai runtuh: Tiada sebarang pelanggaran syarat pembinaan dikesan

Izham
Izham
A
A
A

PUCHONG - Tiada sebarang pelanggaran syarat pembinaan dikesan menerusi penelitian awal berkaitan kejadian runtuhan tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau Peringkat 1 di sini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, buat masa ini lokasi kejadian ini ditutup bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata, pandangan awal berdasarkan kejadian ini mendapati tiada sebarang pelanggaran syarat pembinaan serta tiada sebarang unsur-unsur kerja-kerja dilakukan di luar dari kelulusan yang diberikan.

"Arus sungai juga pada ketika kejadian dalam keadaan normal dan tiada pergerakan yang deras selain itu tiada longgokan tanah dikesan menjadi bebas, jadi kejadian ini berlaku dengan mengejut.

"Kejadian sebegini selalunya disebabkan arus kuat selain lambakan tanah pada benteng menyebabkan ia runtuh, namun semua itu tidak berlaku jadi kita akan siasat secara mendalam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi runtuhan tebing di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau Peringkat 1 di sini pada Ahad.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan segala keperluan mengikut SOP untuk mengenal pasti kejadian.

"Kita mahukan langkah penyelesaian untuk membetulkan tempat itu, kalau tidak nanti kerja tak boleh berjalan dan keduanya, kita nak pastikan kawasan lain di sekitar itu tidak berlaku kejadian sama.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, konsultan yang pakar dalam bidang geotek iaitu melibatkan bidang kaji tanah ini juga akan dilantik bagi melihat semua kemungkinan punca kejadian," katanya.

Menurutnya, siasatan dijangka akan mengambil masa tiga bulan.

"Kita tak mahu 'pressure' ia perlu dilaksanakan dengan betul dan teliti dengan mengambil kira cadangan melibatkan apa jenis langkah-langkah penstabilan, pembinaan struktur yang stabil di kawasan itu.

"Bila dah bina, barulah boleh dilakukan kerja pengepaman air yang melimpah masuk kawasan itu, selepas sudah boleh akses tempat itu barulah kita boleh tengok kerosakan struktur dalam itu dan semua ini kita anggarkan dalam setahun sebelum projek ini dapat berjalan dengan baik," katanya.

Izham berkata, perkara ini akan menjejaskan sedikit perancangan untuk bekalan air.

"Bagaimanapun perkara ini dijangka dapat diatasi susulan langkah-langkah lain yang sedang dibincang bagi memenuhi keperluan tambahan air tahun hadapan kepada Air Selangor," katanya.

Jelasnya, orang ramai tidak perlu gusar dengan keadaan ini.

"Sebenarnya tidak ada runtuhan lain, bila runtuh air masuk dalam kawasan binaan, kawasan binaan dah stabil.

"Pemantauan sentiasa dibuat pada tebing yang sedia ada ini, dan ia tidak ada menunjukkan sebarang pergerakan, ia juga tidak melibatkan keselamatan penduduk sekitar," katanya.

Pada Sabtu, tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) runtuh menyebabkan limpahan air sungai memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan projek itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!