Ajaran sesat: Kerajaan Selangor akan rujuk MAIS

Dr Mohammad Fahmi Ngah
Dr Mohammad Fahmi Ngah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan merujuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mendapatkan senarai ajaran sesat yang dilaporkan masih aktif di negeri itu.

Ia susulan pendedahan Polis Diraja Malaysia terdapat 154 senarai ajaran sesat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

"Saya sedang dapatkan maklumat lanjut dari MAIS," kata Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam masa sama katanya, pihak berkuasa agama di Selangor tidak akan berkompromi sebaliknya bertindak tegas terhadap pengasas dan pihak yang terlibat dalam ajaran sesat di negeri berkenaan.

Sementara itu berhubung laporan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang sedang memantau sebuah syarikat kerana dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak di Selangor, Mohammad Fahmi berkata, perkara itu diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Eksploitasi kanak-kanak adalah kesalahan di bawah undang-undang sivil dan bukan enakmen negeri. Pastinya PDRM sedang menjalankan siasatan," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, pihaknya kini menjalankan pemantauan terhadap organisasi itu susulan empat laporan polis dilakukan di Selangor mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Laporan berkenaan dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk memungut dana, derma dan sebagainya. Mungkin ada lain (laporan) yang sedang dikumpulkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!