'Kerajaan ulangi kesilapan jika PPSMI dilaksanakan semula'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) menganggap kerajaan akan mengulangi kesilapan sekiranya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan semula.

Presidennya, Datuk A Aziz Deraman berkata, dapatan dan rumusan kajian semasa pelaksanaan PPSMI kali pertama dahulu sudah membuktikan kesan negatif dasar tersebut.

Menurutnya, ia berikutan kemerosotan pencapaian dengan sejumlah besar pelajar gagal menguasai kedua-dua subjek penting berkenaan.

"Peradaban mengharapkan kerajaan mengambil kira pandangan pakar-pakar pendidikan, sarjana, ilmuwan dan bahasawan apabila mahu membuat keputusan sepenting ini dalam bidang pendidikan.

"Pemikiran kolektif perlu ada dan elakkan keputusan yang semata-mata mahukan penguasaan bahasa Inggeris yang tidak didasarkan kepada aspek pedagogi atau sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang betul," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tahap penguasaan bahasa Melayu pun masih rendah dalam kalangan sebahagian pelajar terutama di luar bandar, apatah lagi jika mahu mengambil kira tahap pencapaian bahasa Inggeris mereka.

Tegas beliau, bahasa Melayu sudah cukup lengkap untuk digunakan dalam penyampaian ilmu di semua peringkat kerana istilah dan padanannya mencukupi serta sudah begitu lama disediakan.

"Jika Malaysia mahu membangun ke tahap sebuah negara maju, lihatlah apa yang dilakukan di negara-negara maju yang lain seperti Jepun, Korea, Jerman dan Perancis. Teladan kejayaan mereka itu sudah sekian lama ada di hadapan mata kita.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini tidak bermakna rakyat Malaysia tidak perlu mempelajari atau menguasai bahasa-bahasa utama dunia misalnya bahasa Inggeris. Bahasa-bahasa lain juga memang penting dikuasai sebagai wahana komunikasi misalnya bahasa Arab, Sepanyol dan Perancis," katanya.

Berikutan itu, A Aziz menggesa ilmuwan dan pakar pendidikan di negara ini untuk menasihati kerajaan dalam membina sistem dan dasar pendidikan yang komprehensif ke arah menuju kemajuan masa hadapan yang lebih cemerlang.

Katanya, dalam senario masa kini, kerajaan perlu melihat semula seluruh kurikulum pendidikan kebangsaan demi perpaduan bangsa Malaysia yang kian retak dan jati diri negara yang kian luntur.

Khamis lalu, Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dasar PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini dan ekoran itu banyak pihak tampil menyatakan tentangan terhadap rancangan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!