Rekaan batik Suzienna Rahim juara Piala Seri Endon 2024
KUALA LUMPUR - Rekaan batik yang membawa tema 'Kampung' oleh Suzienna Rahim meraih tempat pertama bagi kategori fesyen Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2024.
Kejayaan itu membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi pusingan.
Perekanya, Mohd Fadhil Md Taib, 33, berkata, dia bersama pasukan Suzieana Rahim mendapat ilham ketika pulang ke kampung halaman sewaktu sambutan hari raya.
"(Orang) Malaysia ini kenangan banyak di kampung, kalau tengok corak semua bermotifkan permainan, rumah tradisional, motif bunga dan juga kain sarung.
"Pengalaman paling mencabar sepanjang tiga minggu menyiapkan rekaan ini adalah canting halus (sepenuhnya) pada bahagian motif. Jenis fabrik yang kami gunakan adalah 'crepe', 'chiffon' dan 'cotton linen'," katanya ketika ditemui selepas Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2024 pada Ahad.
Tempat kedua kategori fesyen dimenangi Syahrul Amirul Samsuri bertemakan 'Warisan' yang membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.
Tempat ketiga pula dimenangi Mohd Faizul Noorizan bertemakan 'Jungle Spectrum' yang meraih RM5,000 serta piala.
Sementara itu, tempat pertama bagi kategori kraftangan dimenangi oleh Nazira Radzali, 46, yang membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta piala.
Menurut Nazira, inspirasi diperoleh setelah dia diuji dengan masalah kesihatan iaitu kabur penglihatan akibat kencing manis yang dihadapinya sejak enam tahun lalu.
"Idea memang datang tiba-tiba bila mata saya mula bermasalah. Saya terfikir jika tiba-tiba ALLAH tarik nikmat itu, apa inisiatif saya untuk belajar.
"Jadi, saya aplikasikan tulisan Braille di atas kain batik dan jadikannya produk seperti permainan serta beg alat tulis yang sesuai untuk semua peringkat bermula usia dua tahun ke atas," ujarnya.
Pemenang tempat kedua dan ketiga pula dimenangi kumpulan Cendana dan Artion, masing-masing meraih RM10,000 dan RM5,000 berserta piala.
Bagi kategori kemasan lembut pula, tempat pertama milik Wariseni yang bertemakan Kembara Alam dan membawa pulang wang tunai RM30,000 serta piala.
Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi kumpulan 'When Batik Meet Yarn' dan Dinda dengan masing-masing meraih RM10,000 dan RM5,000 serta piala.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah mencemar duli berangkat ke program berkenaan bagi menyaksikan peringkat akhir pertandingan itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Nori Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali dan Ketua Juri Pertandingan PSE, Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa dan tetamu kehormat lain.
Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2024 yang memasuki tahun ke-19 penganjurannya menerima 35 penyertaan.
Pereka perlu menghasilkan empat set pakaian lengkap iaitu satu set lengkap pakaian formal lelaki dan wanita serta satu set pakaian kasual lelaki dan wanita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!