Isu sijil halal: Lagi laporan polis terhadap Teresa Kok

Yusuf (tengah) bersama Pemuda Pas Kawasan Marang menbuat laporan polis berhubung kenyataan Teresa pada petang Ahad.
Yusuf (tengah) bersama Pemuda Pas Kawasan Marang menbuat laporan polis berhubung kenyataan Teresa pada petang Ahad.
A
A
A

MARANG - Satu lagi laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya yang berkait isu sijil halal.

Laporan terbaharu itu dibuat oleh Pemuda Pas Marang di Balai Polis Marang di sini jam 5 petang, Ahad.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Marang, Yusuf Abdul Hadi berkata, laporan itu dibuat bagi mendesak siasatan secara telus dijalankan pihak berkuasa terhadap Setiausaha Publisiti DAP itu.

Menurutnya, kenyataan Teresa yang membantah cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan telah melanggar batasan dan mencampuri urusan agama Islam yang berada di bawah Majlis Raja-Raja.

"Kenyataan dikeluarkan beliau sebelum ini telah menyentuh kesucian agama Islam berkenaan perihal mendapatkan makanan halal dan hak beragama dalam kalangan orang Islam.

"Kenyataan ini secara jelas menghasut golongan bukan Islam menentang tindakan kerajaan untuk mewajibkan peniaga mendapatkan sijil halal.

"Kami menggesa supaya beliau disiasat di bawah Akta Hasutan kerana apa yang dinyatakan itu jelas menimbulkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Kenyataan dikeluarkan itu menimbulkan kesan lebih besar kerana beliau merupakan ahli politik parti kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap Teresa.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit isu raja, agama dan kaum (3R) akan dijalankan setelah laporan polis diterima dan semua saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!