Penjawat awam dalang sindiket edar dadah diberkas

Antara dadah yang dirampas dalam Ops Telomian serta Ops Tosa di Lembah Klang dan Johor Bahru pada minggu lalu.
Antara dadah yang dirampas dalam Ops Telomian serta Ops Tosa di Lembah Klang dan Johor Bahru pada minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu termasuk seorang penjawat awam disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ditahan dalam Ops Telomian serta Ops Tosa di Lembah Klang dan Johor Bahru pada minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2 juta dalam operasi pada Khamis dan Jumaat lalu.

"Sebanyak enam serbuan dilaksanakan dalam Ops Telomian, kita telah menahan tiga lelaki termasuk seorang lelaki warga Thailand berusia 27 hingga 52 tahun di Taman Bukit Cheras di sini.

"Hasil pemeriksaan ke atas tiga kereta Perodua Myvi, kita menjumpai dadah jenis syabu dan heroin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kok Chin berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita warga Thailand berusia 35 tahun disyaki ahli sindiket di sebuah rumah di Taman Bukit Cheras.

"Kita juga menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun dalam serbuan di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, kita telah menjumpai dadah jenis syabu, ganja dan pil erimin 5," katanya.

Beliau berkata, susulan tangkapan kesemua suspek itu, polis menyerbu sebuah kuarters kerajaan di Kajang, Selangor dan menahan seorang lelaki berusia 38 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu yang juga penjawat awam dipercayai mendalangi aktiviti pengedaran dadah sindiket berkenaan," katanya.

Kok Chin berkata, Ops Tosa pula sebanyak empat siri serbuan telah dilaksanakan.

"Serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di Taman Perdana, Johor Bahru.

"Polis merampas sebuah beg berisi dadah syabu seberat 125 gram yang diletakkan di dalam bakul sebuah motosikal Yamaha LC 135," katanya.

Beliau berkata, polis merampas dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba dalam serbuan di sebuah pangsapuri juga di Taman Perdana.

"Kita turut menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 39 tahun dalam serbuan di sebuah apartment di Taman Cahaya, Kota Puteri, Masai, Johor.

"Pemeriksaan susulan telah dibuat di dalam sebuah kereta Honda City dan menjumpai 499 biji pil erimin 5," katanya.

Kok Chin berkata, susulan tangkapan itu, polis memberkas seorang wanita berusia 39 tahun disyaki ahli sindiket dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kempas Indah, Johor Bahru.

"Modus operandi sindiket yang aktif sejak awal tahun itu adalah mendapatkan bekalan dadah dalam kuantiti yang besar, kemudian dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna.

"Dadah itu diedar untuk pasaran dalam dan luar negara," katanya.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta Mazda CX5 dan Toyota Vios, wang tunai RM68,046 dan barang kemas.

"Hasil saringan air kencing mendapati hanya empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan lanjut mendapati tujuh daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita bertekad untuk memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!