Kerajaan negeri, NAFAS wajar teroka kerjasama tingkatkan pengeluaran padi

Sanusi (tiga dari kanan) ketika melawat operasi kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd pada Ahad.
Sanusi (tiga dari kanan) ketika melawat operasi kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd pada Ahad.
A
A
A

GURUN - Kerajaan negeri menyarankan agar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi syarikat subsidiarinya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) memperluaskan bentuk kerjasama dalam meningkatkan kemajuan sektor pertanian.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja dalam pengeluaran baja berkualiti tinggi, sebaliknya meneroka bidang lebih jauh termasuk menjayakan program Gelombang Padi Kedah.

Menurutnya, ia selari dengan hasrat kerajaan negeri meningkatkan pengeluaran padi menerusi tanaman lima kali dalam dua tahun.

“Saya melihat usaha dijalankan NAFAS menerusi MNFSB mempunyai potensi cukup besar untuk menjayakan agenda kerajaan dalam sektor pertanian.

“Saya dapati ada banyak ruang yang perlu diaktifkan menerusi jalinan kerjasama lebih erat antara peladang, agensi seperti NAFAS dan kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil ladang bagi memenuhi keperluan keterjaminan makanan,” katanya dalam ucaptama ketika mengadakan lawatan kerja ke kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; Pengerusi Lembaga Pengarah Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, Datuk Aimi Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia NPK Fertilizer, Abdul Halim Hamzah.

Sanusi (enam dari kiri) bersama tetamu kehormat bergambar selepas mengadakan lawatan ke kawasan kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.
Sanusi (enam dari kiri) bersama tetamu kehormat bergambar selepas mengadakan lawatan ke kawasan kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.

Sanusi berkata, kerjasama lain termasuk memperkasakan sektor pertanian di negeri SG4 (Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu) yang mempunyai kekuatan dalam sektor pengeluaran makanan seperti padi dan buah-buahan.

Artikel Berkaitan:

“Kedah mengeluarkan 43 peratus keperluan beras negara. Terengganu negeri pengeluar tembikai utama. Kita mahu memaksimumkan potensi ekonomi dan memacu pertumbuhan secara berfokus melibatkan kelebihan dan kekurangan masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, antara usaha sama lain termasuk program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Asnaf kelolaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) selama dua musim dan akan diteruskan sebagai antara komponen Gelombang Padi Kedah.

Dalam pada itu, MNFSB memaklumkan, pihaknya bersama Petronas Chemical Fertilizer Kedah Sdn Bhd (PCFKSB) telah mengorak langkah dalam inovasi baja dengan penggunaan formulasi baharu yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi.

“Penggunaan formulasi ini mencatatkan peningkatan dan hasil konsisten bagi keseluruhan kawasan 200 hektar.

“MNFSB juga terlibat dengan projek tanaman padi LZNK di Chepir, Sik menggunakan sepenuhnya pakej baja lengkap, iaitu perapi tanah (Silgrow Plus), baja pertama atau dikenali baja campuran (formulasi baru), baja ketiga atau NPK tambahan (formulasi baharu) dan baja keempat (Ultra K),” katanya.

Menurutnya lagi, penggunaan input ini telah menunjukkan hasil memberangsangkan dengan peningkatan purata tiga metrik tan untuk keseluruhan kawasan seluas 12 hektar.

“Kawasan ini telah ditinggalkan selama tiga tahun kerana tidak dapat mengeluarkan hasil yang baik kepada pengusaha sebelum ini,” katanya.

Selain itu, kerjasama strategik bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pula melibatkan kajian penggunaan formulasi baharu ini di empat wilayah MADA bagi mendapatkan data teknikal yang diperlukan untuk tindakan selanjutnya.

“Inisiatif ini diambil dalam kerangka memenuhi aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui program Gelombang Padi yang diperkenalkan awal tahun ini.

“MNFSB terus komited untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik di Kedah dan meneruskan usaha inovasi yang mampu meningkatkan hasil padi negeri ini sesuai dengan jolokan Kedah sebagai negeri Jelapang Padi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!