Anak muda Malaysia pertama ternak ikan gourami
SHAH ALAM - Genggam bara api biar sampai jadi arang. Itu perumpamaan tepat atas usaha seorang anak muda berasal dari Kuala Lumpur yang mengusahakan ternakan ikan gourami.
Mana tidaknya. Dalam tempoh dua tahun mengusahakan ternakan ikan gourami, pelbagai dugaan dihadapi bagi memastikan benih ikan yang dihasilkan mampu mengeluarkan hasil.
Pengarah DSKL Fishery Sdn Bhd, Akmal Faiz Ahmad Kamal, 31, berkata, ikan gourami yang dijadikan hidangan popular di Indonesia sebenarnya mudah diuruskan jika penternak mempunyai pengalaman.
“Saya masih baharu dalam bidang ternakan ikan ini, tapi atas idea dan usaha abang iaitu Akmal Fakhimie kami ke Indonesia untuk mempelajari tentang proses ternakan ikan gourami untuk dikomersialkan.
“Alhamdulillah, daripada situ kami berjaya mempunyai pusat menghasilkan benih anak ikan gourami di Bukit Cerakah, Puncak Alam dan 25 kolam ternakan di Bukit Tagar, Hulu Selangor,” katanya.
Pemegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam seni bina ini berkata, ikan itu mula diternak bermula benih sebesar lima sentimeter dan menjadi matang untuk dituai pada berat 500 gram hingga 1 kilogram setiap satu.
“Ikan gourami sejenis ikan air tawar yang membiak secara persenyawaan luar dan mempunyai sarang yang dibinanya sendiri, jadi kita kena letak sabut kelapa dalam kolam induk untuk membolehkan sarang dibuat.
“Lazimnya ikan betina akan bertelur dan ikan jantan akan merembeskan air mani bagi membolehkan telur disenyawakan,” katanya
Dalam kolam pembiakan terdapat tiga ekor ikan betina dan seekor ikan jantan.
Menurutnya, dalam tempoh enam bulan selepas benih mencapai saiz lima hingga tujuh sentimeter ia akan dimasukkan ke dalam kolam besar.
Akmal Faiz berkata, selain palet yang dicampur dengan bawang, ikan gourami makan daun keladi bagi mengekalkan tumbesaran semula jadinya.
“Daun keladi, kangkung adalah makanan semula jadi kita cuba mengekalkan makanan ini kerana ia mampu mengekalkan tahap antibodi bagi mengelak ikan terkena penyakit,” katanya.
CABARAN
Akmal Faiz berkata, antara cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang berkecimpung dalam bidang itu adalah apabila 200 ekor ikannya mati ketika proses penukaran air.
“Kejadian berlaku pada April lalu apabila cuaca negara dipengaruhi oleh fenomena El Nino menyebabkan gourami mati kerana tidak tahan suhu yang tinggi.
“Jadi untuk mengelakkan perkara ini berulang, kita hanya akan melakukan penukaran air atau penuaian ikan pada waktu malam,” katanya.
Menurutnya, ikan ini juga sensitif dengan persekitaran dan mudah terkejut dan melompat menyebabkan kita terpaksa berhati-hati kerana jika ikan terperanjat, ia akan mengeluarkan lendir yang menyebabkan ikan tidak tidak sedap di makan.
“Kita telah berjaya memasarkan dua tan ikan gourami di restoran yang menghidangkan aneka makanan tradisional di dalam negara,” katanya.
Tambahnya, rasa ikan gourami selepas dimasak berbeza daripada ikan air tawar yang lain kerana ia tidak berbau hanyir.
“Ikan ini enak digoreng dan tekstur dagingnya pejal dan manis bila dimakan dan sesuai juga untuk dimasak secara stim.
“Harga pasaran bagi sekilo ikan ini adalah antara RM35 hingga RM38 dan setakat ini kami telah menjadi pembekal kepada lima buah restoran terkenal di ibu negara,” katanya.
Difahamkan ikan gourami atau lebih dikenali sebagai kaloi di negara ini mula mendapat permintaan tinggi dan DSKL Fishery Sdn Bhd bercadang untuk mengeksport ke luar negara.
“Kita sedang berusaha ke arah itu memandangkan ikan ini amat popular di luar negara dan kita menyasarkan pengeluaran melebihi 200,000 ekor ikan dalam tempoh setahun,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh menemui Akmal Faiz di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 pada 11 hingga 22 September 2024 di MAEPS, Serdang, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!