Tidak patuh nisbah pengasuh punca dera bayi, kanak-kanak

Kegagalan pengusaha taska mematuhi nisbah pengasuh yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 boleh menjadi punca penderaan bayi dan kanak-kanak di taska. (Gambar kecil: Zubaidah)
Kegagalan pengusaha taska mematuhi nisbah pengasuh yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 boleh menjadi punca penderaan bayi dan kanak-kanak di taska. (Gambar kecil: Zubaidah)
A
A
A

KUANTAN - Kegagalan pengusaha taska mematuhi nisbah pengasuh yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 boleh menjadi punca penderaan bayi dan kanak-kanak di taska.

Pengusaha Taska Ar Raudah, Zubaidah Husin berkata, situasi itu memberi tekanan kepada kakitangan di taska kerana perlu menguruskan anak asuhan lebih ramai, sekali gus membuka ruang berlakunya kejadian tidak diingini.

Menurutnya, peraturan menetapkan nisbah pengasuh hendaklah 1:3 iaitu seorang pengasuh bersamaan dengan 3 kanak-kanak di bawah satu tahun, 1:5 (seorang pengasuh: lima kanak-kanak satu hingga tiga tahun) dan 1:10 (seorang pengasuh: 10 kanak-kanak tiga hingga empat tahun).

“Kami perlu patuhi nisbah ini tapi bagi taska tidak berdaftar kemungkinan besar tidak ikut nisbah ditetapkan sehingga berlakunya kecuaian.

“Jadi, saya andaikan pengasuh menjaga lebih daripada tiga bayi, mungkin empat, lima atau enam. Ini yang kita tidak tahu tapi ia didakwa berlaku di taska sehingga pengasuh alami tekanan,” katanya pada Ahad.

Berdasarkan pengalamannya selama 21 tahun dalam industri pengasuhan kanak-kanak, Zubaidah menjelaskan beban kerja berlebihan menjadi tekanan kepada pengasuh sehingga membawa kepada situasi buruk.

“Kadang-kadang, ada pengasuh tertekan dengan beban kerja contohnya sesama rakan sekerja selain masalah peribadi. Jadi, mereka mungkin secara tidak sedar melepaskan tekanan itu kepada kanak-kanak.

“Tindakan ini tidak boleh diterima. Jika, saya kesan mana-mana pengasuh yang mengalami tekanan, mereka akan diberhentikan. Kita tidak mahu perkara seperti kematian atau kes polis berlaku di taska saya,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Zubaidah juga menegaskan pengurusan taska dan ibu bapa perlu sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan kanak-kanak.

Tegasnya, pengasuh pula diberi tugasan mengikut kapasiti sesuai oleh majikannya, namun begitu ibu bapa digalakkan menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar dan mematuhi peraturan.

“Kita tak boleh hanya salahkan satu pihak kerana ia melibatkan tiga pihak iaitu pengasuh, pengusaha dan ibu bapa. Dalam konteks ini, ibu bapa jangan hanya tengok pada yuran murah tapi kena pastikan taska dipilih berdaftar dan mematuhi peraturan.

“Biasanya, taska yang menawarkan yuran murah mungkin tidak bayar gaji pengasuh dengan cukup atau gagal mematuhi nisbah pengasuh yang ditetapkan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, pemantauan tidak dapat dilakukan terhadap taska tidak berdaftar, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha untuk menjalankan operasi tanpa kawalan.

“Taska yang tidak berdaftar siapa yang nak pantau? Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu. Ini membahayakan keselamatan kanak-kanak,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!