30 taska di Pahang dihentikan operasi

Laporan muka depan Sinar Ahad. (Gambar kecil: Sabariah)
Laporan muka depan Sinar Ahad. (Gambar kecil: Sabariah)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Pemantauan dan Pemutihan Taska untuk mengelak berlakunya penderaan dan pengabaian di semua taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Sabariah Saidan berkata, pasukan petugas terbabit sudah mula digerakkan sejak 1 September tahun lalu bagi tujuan berkenaan.

“Kita sangat prihatin dan peka terhadap isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak di taska.

“Jadi, kita sudah mengambil tindakan awal dengan membentuk satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti JKM, pihak berkuasa tempatan, pejabat kesihatan daerah, jabatan bomba dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan tiada insiden menyayat hati berlaku di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sabariah memberitahu, pada ketika ini hanya 114 taska yang disahkan berdaftar dengan JKM.

Jelasnya, berdasarkan data direkodkan Pasukan Petugas Pemantauan dan Pemutihan Taska hingga 1 September lalu, sebanyak 71 taska dilaporkan tidak berdaftar dan 19 daripadanya telah lulus perakuan.

“Sebanyak 30 taska pula dihentikan operasi, tujuh notis peringatan, satu notis Lak manakala 14 lagi dalam proses penguatkuasaan atau siasatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Sabariah berkata, JKM berusaha memastikan semua Taska beroperasi di Pahang mematuhi peraturan dan berdaftar mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308].

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!