Selangor terus kesan taska tidak berdaftar

Anfaal Saari
Anfaal Saari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan terus merancakkan operasi pemutihan bagi mengesan taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak berdaftar di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, ia selaras dengan arahan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Anfaal, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor agar taska di negeri berkenaan dapat memenuhi syarat dari segi keselamatan dan kesejahteraan penghuninya.

“Setakat ini sebanyak 1,023 taska berdaftar manakala 226 taska tidak berdaftar dikesan di Selangor dan bagi taska yang tidak berdaftar ia berada di bawah tindakan JKM.

“Antara alasan pengusaha taska yang tidak berdaftar ini adalah isu di peringkat teknikal pihak berkuasa tempatan. Ada yang disebabkan isu pematuhan bomba dan ada juga sebilangan kecil tidak dapat diluluskan kerana pengasuh tidak mempunyai kelayakan sijil KAAK,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Laporan muka depan Sinar Ahad.
Laporan muka depan Sinar Ahad.

Beliau berkata, taska yang tidak berdaftar dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308] menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh mengendalikan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taska yang tidak didaftarkan.

Ujarnya, mereka yang didapati melanggar peraturan boleh didenda hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya juga akan dikenakan bagi kesalahan kali kedua.

“Berdasarkan kepada seksyen ini, kerajaan Selangor melalui JKM akan melaksanakan pemeriksaan mengejut ke atas taska bagi memastikan pengusaha mematuhi peruntukan tersebut,” kata Anfaal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!