Ibu, teman lelaki dera anak didakwa esok

Laporan Sinar Harian pada 5 September lalu
Laporan Sinar Harian pada 5 September lalu
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang ibu dan teman lelakinya yang disyaki mendera anak kandung berusia lima tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden, Mohd Ambia Nordin berkata, suspek warga tempatan berusia 32 dan 26 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut beliau, siasatan kes penderaan kanak-kanak itu dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Shah Alam pada Isnin.

"Mereka akan didakwa di mahkamah pada pagi Selasa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, ibu kandung dan teman lelakinya ditahan selepas dipercayai mendera anak wanita berkenaan.

Kanak-kanak itu didera dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kepada neneknya yang kemudian memaklumkan kepada bapa kandung berusia 28 tahun.

Bapa kandung mangsa kemudiannya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan ibu kandung mangsa di rumahnya di sekitar Kuala Selangor pada 4 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Teman lelaki wanita itu kemudiannya ditahan pada keesokannya di sebuah rumah di Sik, Kedah, kira-kira jam 4.30 petang.

Hasil semakan polis mendapati, lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah berkaitan narkotik.

Mangsa di bawah jagaan wanita terbabit dan telah berpisah dengan bapa kandung kanak-kanak itu pada tahun 2020.

Ringkasan berita:

  • Kedua-dua suspek berusia 32 dan 26 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
  • Mangsa didera dengan cara dicubit, ditumbuk, dan disiram air panas, yang terungkap setelah mangsa menceritakannya kepada neneknya.
  • Ibu mangsa ditahan pada 4 September di Kuala Selangor, dan teman lelakinya ditangkap di Kedah keesokan harinya.
  • Lelaki tersebut memiliki dua rekod jenayah berkaitan narkotik.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!