Tiga termasuk dua beranak maut nahas tiga kenderaan

Anggota BBP Jengka bertungkus lumus mengeluarkan mangsa kemalangan melibatkan tiga kenderaan di jalan utama Jengka Tiga, berhampiran kilang sawit pada Isnin. Foto Bomba Pahang
Anggota BBP Jengka bertungkus lumus mengeluarkan mangsa kemalangan melibatkan tiga kenderaan di jalan utama Jengka Tiga, berhampiran kilang sawit pada Isnin. Foto Bomba Pahang
A
A
A

JENGKA - [DIKEMAS KINI] Tiga termasuk dua beranak maut manakala empat cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka pada Isnin.

Mangsa, Noraini Ali, 42, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim, 13, penumpang hadapan MPV jenis Toyota Avanza meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak Noraini, Aufa Medina Azuan, 7, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Jengka.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kejadian berlaku ketika dua beranak yang menaiki Perodua Alza dari arah bandar Jengka ke bandar Maran, manakala MPV jenis Toyota Avanza yang dinaiki empat individu dari arah bertentangan.

"Setiba di lokasi kejadian, Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 28 tahun bersama penumpang terdiri daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 masing-masing berusia 13 tahun, dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza itu.

"Dalam masa sama, sebuah Perodua Myvi juga dari arah bandar Jengka tidak sempat mengelak dan melanggar Avanza tersebut yang sedang melintang di tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka pada pagi Isnin.
Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka pada pagi Isnin.

Mohamad Zamri memberitahu, pemandu Perodua Myvi yang juga seorang guru sekolah berusia 34 tahun dan penumpang belakang kanan Toyota Avanza mengalami kecederaan kini sedang dirawat di Hospital Jengka.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu Avanza dan penumpang belakang bahagian kirinya yang mengalami kecederaan parah masing-masing di kaki dan kepala diberikan rawatan lanjut di Hospital Temerloh," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kecuaian pemandu Toyota Avanza yang gagal mengawal kenderaan menyebabkan berlaku kemalangan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementera itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka ke lokasi selepas menerima panggilan kira-kira jam 7.16 pagi.

Menurutnya, setibanya di lokasi mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Perodua Myvi dan Toyota Avanza.

"Terdapat seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kereta Perodua Alza, manakala seorang lelaki dan tiga perempuan di dalam Toyota Avanza.

"Di dalam kereta Myvi pula melibatkan mangsa seorang wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail berkata, pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat selain membuat pemantauan bagi memastikan tiada lagi keberbahayaan di lokasi kejadian.

"Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!