[VIDEO] ‘Saya tiada peluang sampaikan pandangan’ - Teresa

A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal yang disampaikan secara terbuka tanpa melalui perbincangan bersama wakil rakyat menyebabkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak dapat memberikan pandangan beliau terhadap isu tersebut.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar membangkitkan cadangan itu melalui forum terbuka tanpa melibatkan diri dengan Jemaah Menteri menyebabkan beliau terpaksa memberi maklum balas secara terbuka.

Beliau yang juga Naib Presiden DAP itu berkata,sebagai ahli Parlimen sudah menjadi tanggungjawabnya menyuarakan masalah dan suara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Teresa
Teresa

“Saya tidak boleh mengemukakan pandangan melalui saluran dalaman kerana cadangan ini dibangkitkan menerusi forum terbuka tanpa melibatkan wakil rakyat.

“Sebab itu saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan ini. Kenyataan saya sama sekali tidak bermakna saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau tidak menghormati Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Teresa dalam satu kenyataan di media sosial berkata, pelaksanaan pensijilan halal perlu bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Teresa bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Teresa, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memberi keterangan susulan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Tambahnya, usaha kerajaan khususnya Jakim untuk mempromosikan pensijilan halal makanan dan minuman akan disokong penuh olehnya kerana jabatan tersebut mempunyai standard piawaian yang tertinggi di dunia.

“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM yang ingin memanggil saya untuk memberi keterangan,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!