Guna sistem e-Perolehan, iGFMAS elak penipuan

Waspada taktik licik pihak tertentu guna logo Jabatan Pertanian tipu pesanan kerajaan.
Waspada taktik licik pihak tertentu guna logo Jabatan Pertanian tipu pesanan kerajaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pertanian menyarankan semua pihak yang terlibat dalam urusan bekalan dan perkhidmatan menggunakan Sistem e-Perolehan serta Sistem Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan (iGFMAS) bagi setiap permohonan.

Jabatan tersebut berkata, ia berikutan pihaknya menerima aduan berkaitan kes penipuan pesanan kerajaan yang dilakukan pihak tertentu dengan menggunakan logo pentadbiran tersebut.

Menurutnya, ia bertujuan bagi memperdayakan syarikat untuk menyediakan bekalan dan perkhidmatan seperti mana kandungan pesanan kerajaan yang dikemukakan.

“Taktik licik ini menyebabkan pihak syarikat terpedaya dan mengalami kerugian kerana tiada sebarang permohonan dibuat oleh jabatan kami.

“Kami memandang serius terhadap isu yang berlaku yang boleh menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, syarikat pembekal disaran untuk menghubungi pihaknya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan yang dikemukakan oleh kumpulan tertentu.

Ujarnya, ia bagi mengelakkan kes penipuan yang sama daripada terus berulang.

“Kami amat mengalu-alukan sekiranya kenyataan penafian ini disebarluaskan kepada semua yang terlibat demi menjaga kewibawaan jabatan kerajaan khasnya Jabatan Pertanian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!