Ragbi lelaki 7s UPM catat kemenangan kelima SUKIPT
SKUAD ragbi lelaki Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengekalkan pingat emas acara ragbi 7s pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024, pada Ahad.
Juara bertahan itu menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan keputusan 21-0 pada perlawanan akhir di padang ragbi UUM.
Pengurus pasukan UPM, Muhammad Zyuraidi Abdul Majid berkata, kemenangan kali kelima dalam temasya SUKIPT ini lebih manis apabila mereka tidak bolos sejak acara ragbi dimulakan pada Jumaat lalu sehingga perlawanan akhir.
Menurutnya, rekod perlawanan di peringkat kumpulan menyaksikan UPM menewaskan UniKL (32-0), IPG KL (29-0), UTEM (34-0), Politeknik Malaysia (24-0) dan di separuh akhir pula mengatasi Universiti Teknologi Petronas (UTP) 34-0.
"Skuad UPM yang dibarisi pemain baru tahun pertama dan kedua telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk merebut kemenangan sejak memulakan aksi dalam kumpulan F.
"Faktor kemenangan kami adalah tahap disiplin dan komitmen yang tinggi yang dimiliki setiap pemain melalui persiapan yang kami lakukan di Serdang sebelum hadir ke SUKIPT," katanya.
Jelas Muhammad Zyuraidi, pasukannya tetap diberikan saingan sengit oleh lawan terutamanya di peringkat separuh akhir dan juga akhir.
Menurutnya, Pemain juga menambah tahap keyakinan mereka apabila berjaya mengekalkan kedudukan tanpa bolos hingga ke peringkat akhir sehingga berjaya mengekalkan sasaran emas pada tahun ini.
Sementara itu, pasukan ragbi 7's wanita UiTM pula muncul juara selepas menewaskan Politeknik Malaysia dengan keputusan 19-5 pada perlawanan akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!