Isu sijil halal: Teresa Kok dipanggil ke Bukit Aman esok

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ke Bukit Aman pada Selasa untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Teresa akan hadir untuk memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada jam 10 pagi.

"Terdapat beberapa saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang akan ditentukan kemudian," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, setakat jam 2 petang Isnin, polis menerima 28 laporan berhubung kenyataan Teresa.

"Sebanyak enam laporan diterima di Selangor, Perak (5), Kedah serta Terengganu (4), Kelantan (3), Negeri Sembilan dan Pahang (2), satu laporan di Kuala Lumpur dan Melaka," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin dilaporkan berkata, prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit isu bangsa, agama dan institusi raja (3R) akan dijalankan setelah laporan polis diterima.

Tambahnya, laporan yang diterima polis ini berikutan rada ketidakpuasan hati individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Kata Razarudin, walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan namun terdapat had yang perlu dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

"PDRM juga menyeru semua masyarakat untuk hayatilah prinsip Rukun Negara" ujarnya.

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!