[VIDEO] Pas selar kenyataan DAP dakwa Teresa tidak langgar undang-undang

A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyelar kenyataan DAP yang mempertahankan dan yakin Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak bersalah dalam membuat kenyataan berhubung isu halal.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebelum ini beberapa figura daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) telah disiasat berhubung isu 3R (agama, raja, kaum), namun pihaknya tidak mengeluarkan kenyataan seperti parti berkenaan.

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

“Sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi disiasat berkait 3R, pemimpin PN tidak pertahankan dengan menyatakan mereka sama sekali tidak bersalah.

“Ia cukup dengan menyerahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dilakukan dengan adil.

“Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP daripada awal meyakinkan bahawa Teresa tidak bersalah dan melanggar undang-undang walaupun dia menyebut perkataan memalukan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, DAP dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa pihaknya melalui biro guaman parti akan menemani dan memberi nasihat undang-undang kepada Teresa.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti berkenaan yakin bahawa Teresa tidak melanggari undang-undang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Pada 6 September lalu, Teresa menyatakan, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Menurutnya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain menambahkan kos pentadbiran.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima lima laporan berhubung kenyataan Teresa.

Jelasnya, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!