122,062 murid Tahun 1 ikuti program intervensi

Azman ketika sidang media berhubung pelaksanaan Intervensi Kurikulum pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Azman ketika sidang media berhubung pelaksanaan Intervensi Kurikulum pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 122,062 daripada 448,113 murid Tahun 1 mengikuti program intervensi yang dijalankan selama tiga bulan bermula Ogos lepas.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, program tersebut khusus untuk murid yang belum menguasai literasi dan numerasi pada tahap minimum.

"Daripada jumlah tersebut, 45,465 murid belum menguasai literasi, 13,669 murid tidak mencapai tahap penguasaan minimum numerasi manakala 62,928 murid belum menguasai kedua-duanya," katanya menerusi sidang akhbar Intervensi Kurikulum di sini pada Isnin.

Ujar beliau, saringan akan dilakukan sekali lagi apabila tempoh intervensi fasa pertama itu tamat selepas tiga bulan.

"Sekiranya mereka berjaya menguasai tahap penguasaan minimum, murid-murid akan kembali ke kelas arus perdana seperti sebelumnya.

Azman (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Zainal Abas (kiri) dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Nor Saidatul Rajeah Zamzam Amin (kanan) menunjukkan pelaksanaan Intervensi Kurikulum dalam sidang media pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Azman (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Zainal Abas (kiri) dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Nor Saidatul Rajeah Zamzam Amin (kanan) menunjukkan pelaksanaan Intervensi Kurikulum dalam sidang media pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

"Jika masih belum mencapai tahap penguasaan minimum, murid-murid akan meneruskan program intervensi fasa kedua bagi tempoh tiga bulan berikutnya," jelas Azman.

Menurutnya, langkah seterusnya akan dipertimbang Kementerian Pendidikan (KPM) berdasarkan keputusan saringan program intervensi kedua kelak.

Artikel Berkaitan:

"KPM tidak mempunyai dasar untuk menyekat murid dari menaiki darjah seterusnya, tetapi kita akan meneruskan intervensi bersesuaian bergantung kepada saringan fasa 2," jelasnya.

Ditanya adakah murid berkenaan ditempatkan di dalam bilangan kelas lebih kecil, Azman berkata, ia bergantung kepada pengurusan sekolah dan guru-guru terlibat.

"Kebiasaannya, di sekolah kumpulan murid dalam jumlah lebih kecil adalah lebih baik dan mudah untuk diberi bimbingan bagi memastikan mereka lebih kompeten," katanya.

Pada Mac lalu, KPM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara.

Ia termasuklah penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.

Program intervensi adalah inisiatif kedua dalam reformasi pendidikan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!