Kertas siasatan komen fitnah serangan Ulu Tiram dirujuk TPR

Laporan Sinar Harian pada Sabtu berhubung kes seorang lelaki menghantar komen berunsur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor di laman Facebook, minggu lalu. Gambar kecil: Azizi
Laporan Sinar Harian pada Sabtu berhubung kes seorang lelaki menghantar komen berunsur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor di laman Facebook, minggu lalu. Gambar kecil: Azizi
A
A
A

IPOH - Kertas siasatan kes seorang lelaki menghantar komen berunsur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor di laman Facebook, minggu lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan kes itu masih berjalan dan pihaknya perlu menunggu beberapa dokumen melibatkan agensi dan jabatan lain yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Azizi (tiga dari kiri) bersama tiga penerima surat penghargaan polis kepada orang awam sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di IPK Perak pada Isnin.
Azizi (tiga dari kiri) bersama tiga penerima surat penghargaan polis kepada orang awam sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di IPK Perak pada Isnin.

"Setelah menerima (dokumen), kita akan rujuk kepada TPR untuk pertuduhan seterusnya. Dalam kes ini, tangkapan terhadap suspek telah dibuat dan kertas siasatan juga telah dibuka.

"Oleh itu, permohonan reman akan kita teruskan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan," katanya kepada pemberita sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pemilik akaun Facebook di sebuah rumah di Masai, Johor pada 5 September lepas selepas menerima laporan daripada waris Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.

Dalam hantaran komen tular di media sosial itu, seorang pemilik akaun menggunakan nama 'Wan Qayyum' menulis komen mendakwa mangsa insiden serangan Balai Polis Polis Ulu Tiram mengambil rasuah.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, suspek direman selama empat hari bermula hingga Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Perintah reman terhadap suspek telah disambung dua hari lagi sehingga esok.

Dalam kejadian pada 17 Mei lepas, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki berusia 21 tahun yang turut maut dalam serangan berkenaan.

Selain Ahmad Azza Fahmi, 22, kejadian itu turut mengorbankan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang ketika itu masing-masing berpangkat konstabel.

Dalam perkembangan lain, Azizi berkata, pihaknya akan meminta bantuan polis antarabangsa bagi menjejaki seorang wanita warga Indonesia berhubung kes penemuan mayat bayi perempuan tertanam dalam simen di ruang tempat letak kenderaan sebuah rumah di Taman Sri Rokam di sini, Ogos lalu.

Katanya, sehingga kini belum dapat dipastikan sama ada wanita terbabit yang merupakan suspek utama kes itu masih berada dalam negara atau telah pulang ke negara asal.

"Pasukan risikan kita telah bekerjasama dengan Imigresen bagi mengesan suspek dan sekiranya telah pulang (Indonesia), maka kita akan guna saluran diplomatik dan Interpol (polis antarabangsa)," katanya.

Mayat bayi perempuan dianggarkan berusia tujuh bulan itu ditemukan seorang lelaki berusia 37 tahun ketika sedang melakukan kerja baik pulih rumah berkenaan yang hendak disewa.

Berdasarkan keterangan pemilik rumah, suspek yang melarikan diri dari kediaman itu kira-kira sebulan lalu pernah dilihat dalam keadaan mengandung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!