Dasar Gaji Progresif (DGP): Sinar masa depan untuk pekerja Malaysia

No Image Caption
A
A
A

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai langkah baharu untuk mereformasi pasaran buruh dengan tujuan meningkatkan gaji pekerja secara beransur-ansur seiring dengan peningkatan produktiviti.

DGP ini bertujuan melengkapi dasar sedia ada seperti Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (Productivity Linked-Wage System, PLWS) demi mencapai pengagihan pendapatan yang lebih seimbang.

Jom fahami Dasar Gaji Progresif

DGP adalah satu dasar yang direka untuk meningkatkan gaji pekerja secara progresif, seiring dengan pertumbuhan produktiviti syarikat. Pendekatan ini tidak hanya sekadar menaikkan gaji, tetapi juga memastikan kenaikan tersebut selaras dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja.

Dasar ini juga bertujuan mengatasi isu pengagihan pendapatan yang tidak seimbang dan memberikan peluang kepada pekerja untuk menikmati gaji yang lebih tinggi berdasarkan prestasi mereka.

Ciri utama pelaksanaan DGP

DGP di Malaysia mempunyai tiga ciri utama:

1. Sukarela: Pelaksanaan DGP tidak diwajibkan melalui undang-undang baharu. Syarikat yang ingin menyertai dasar ini boleh mendaftar secara sukarela melalui sistem permohonan dalam talian. Hanya syarikat yang mendaftar sebagai 'Majikan Gaji Progresif' akan dipertimbangkan untuk menerima insentif daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

2. Berteraskan Insentif: Syarikat yang menyertai DGP dan memenuhi syarat yang ditetapkan akan layak menerima insentif dari kerajaan. Jumlah insentif ini akan ditentukan berdasarkan kriteria tertentu dan ia bertujuan membantu syarikat menyesuaikan pelan perniagaan mereka bagi menampung kos buruh yang meningkat akibat pelaksanaan dasar ini.

3. Terkait dengan Produktiviti: Syarikat yang menyertai DGP mesti memastikan bahawa pekerja mereka menghadiri dan melengkapkan kursus serta latihan peningkatan kemahiran yang diiktiraf kerajaan. Langkah ini bukan sahaja untuk memastikan peningkatan gaji tetapi juga untuk mendorong syarikat melabur dalam teknologi dan automasi demi meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Mekanisme pelaksanaan DGP

DGP akan dilaksanakan berasaskan tiga mekanisme berikut:

1. Syarat penyertaan: Hanya syarikat yang memenuhi syarat kelayakan seperti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PERKESO dan KWSP serta tidak melebihi had gaji tertentu yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan DGP, akan layak menyertai. Penyertaan juga dibuka kepada sektor-sektor tertentu seperti pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

No Image Caption

2. Cadangan gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan: Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan DGP akan menentukan cadangan gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan mengikut sektor ekonomi dan kategori pekerjaan dalam Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO). Cadangan ini akan digunakan sebagai panduan oleh majikan untuk menetapkan gaji pokok dan kenaikan gaji bagi setiap kategori pekerjaan.

3. Insentif mengikut kadar dan kumpulan pekerja: Insentif yang diberikan kepada majikan akan berbeza mengikut kumpulan pekerja, sama ada pekerja peringkat permulaan (entry-level) atau bukan peringkat permulaan (non-entry level). Majikan akan menerima insentif tunai sehingga maksimum RM200 sebulan bagi pekerja peringkat permulaan dan RM300 sebulan bagi pekerja bukan peringkat permulaan, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Bilakah DGP Akan Mula Dilaksanakan

Kertas Putih Cadangan DGP telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada penghujung tahun 2023. Projek rintis DGP yang melibatkan 1,000 syarikat telah bermula pada Jun 2024 hingga Ogos 2024. Selepas itu, penilaian terhadap projek rintis ini akan dijalankan pada September 2024 bagi menilai keberkesanan dasar ini sebelum ia dilaksanakan secara penuh.

Syarat kelayakan menjadi ‘Majikan Gaji Progresif’

Untuk menjadi ‘Majikan Gaji Progresif’, syarikat perlu memenuhi beberapa syarat termasuklah berdaftar dengan SSM, PERKESO, dan KWSP serta tidak termasuk dalam kategori syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat multinasional.

Hanya syarikat yang menggaji pekerja warganegara Malaysia dengan gaji pokok tidak melebihi had yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan DGP akan layak menyertai. Penyertaan juga dibuka hanya kepada lima sektor utama dalam projek rintis.

Manfaat pelaksanaan DGP

DGP dijangka memberikan manfaat kepada pekerja yang menerima gaji lebih tinggi daripada gaji minimum semasa tetapi tidak melebihi RM5,000 sebulan. Selain itu, majikan juga akan mendapat manfaat dari segi peningkatan produktiviti pekerja dan daya saing syarikat, hasil daripada pelaburan dalam latihan kemahiran dan teknologi.

DGP bukan menggantikan Perintah Gaji Minimum

DGP tidak akan menggantikan Perintah Gaji Minimum sedia ada. Sebaliknya, ia adalah dasar pelengkap yang dilaksanakan secara sukarela tanpa sebarang pindaan kepada undang-undang sedia ada.

Perintah Gaji Minimum akan terus dikuatkuasakan dan hanya majikan yang mematuhi perintah tersebut layak untuk mendaftar sebagai 'Majikan Gaji Progresif'.

Exit Policy DGP

Kerajaan telah merancang untuk mengurangkan kebergantungan majikan kepada insentif yang diberikan dalam jangka masa panjang. Apabila pendapatan syarikat meningkat dan dapat menampung kenaikan gaji pekerja, intervensi kerajaan melalui insentif tunai akan dikurangkan atau dihentikan.

Keputusan untuk melaksanakan exit policy akan bergantung kepada pencapaian objektif program, kemampuan kewangan kerajaan dan peningkatan daya saing syarikat.

Pengalaman Singapura: Contoh yang diambil kira

Dalam merangka DGP, kerajaan Malaysia turut mengambil kira pengalaman Singapura dalam melaksanakan Wage Correction Policy (1979-1982) dan Progressive Wage Model. Walaupun begitu, DGP di Malaysia tidak sepenuhnya meniru model Singapura, tetapi dirumuskan berdasarkan struktur industri dan isu pasaran kerja tempatan.

Dengan 97 peratus majikan terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta masalah guna tenaga tidak penuh yang semakin meningkat, DGP disesuaikan dengan konteks Malaysia.

Benarkah DGP membebankan majikan PMKS

DGP tidak bersifat mandatori dan pelaksanaannya dilakukan secara sukarela dengan insentif tunai yang disediakan bagi mengurangkan beban kos buruh yang meningkat. Ini bertujuan memastikan majikan, terutama PMKS, dapat menyesuaikan diri dengan dasar ini tanpa tekanan kewangan yang besar.

Insentif Tunai: Kaedah dan syarat pembayaran

Insentif tunai akan disalurkan kepada majikan yang memenuhi syarat-syarat tertentu seperti membayar gaji mengikut garis panduan yang ditetapkan, menaikkan gaji pekerja berbanding tahun sebelumnya dan memastikan pekerja menghadiri latihan yang diiktiraf.

Syarikat yang memenuhi syarat layak menerima insentif sehingga maksimum RM200 sebulan bagi pekerja peringkat permulaan dan RM300 sebulan bagi pekerja bukan peringkat permulaan. Pembayaran insentif ini akan dilakukan setiap suku tahun.

Latihan dan pembangunan kemahiran

Pekerja yang terlibat dalam DGP perlu menghadiri sekurang-kurangnya 21 jam latihan bagi melayakkan majikan mereka menuntut insentif. Latihan ini boleh dilakukan secara fizikal, dalam talian, atau hibrid dan merangkumi program-program yang relevan dengan tugas serta keperluan industri.

Projek Rintis DGP: Ujian awal sebelum pelaksanaan penuh

Projek rintis DGP akan berlangsung selama tiga bulan dari Jun hingga Ogos 2024, melibatkan syarikat daripada lima sektor utama. Tujuan projek rintis ini adalah untuk menilai sama ada dasar dan sistem DGP yang dibangunkan boleh digunakan untuk pelaksanaan penuh. Syarikat yang menyertai projek rintis ini dan memenuhi syarat-syarat tuntutan insentif akan menerima insentif selama 12 bulan.

Oleh itu, DGP adalah satu langkah besar dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja dan menyeimbangkan pengagihan pendapatan di Malaysia.

Walaupun pelaksanaannya secara sukarela, dasar ini membawa harapan bahawa dengan insentif dan sokongan kerajaan, syarikat-syarikat di Malaysia akan dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka sekaligus menawarkan gaji yang lebih baik kepada pekerja.

Namun, kejayaan DGP bergantung pada kerjasama semua pihak - majikan, pekerja dan kerajaan - untuk memastikan ia dapat mencapai objektif yang diharapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!