JPJePlate untuk ZEV boleh ditempah mulai hari ini

Anthony (tengah) ketika sidang media Majlis Pelancaran JPJePlate bertempat di MaGIC, di Cyberjaya pada Isnin.
Anthony (tengah) ketika sidang media Majlis Pelancaran JPJePlate bertempat di MaGIC, di Cyberjaya pada Isnin.
A
A
A

CYBERJAYA - Rekaan plat khas JPJePlate tidak diwajibkan untuk kenderaan tanpa pelepasan gas pencemaran (ZEV) sedia ada, namun pemilik masih boleh membuat tempahan nombor indeks sekiranya berminat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, JPJePlate boleh didapati pada harga RM98 satu set termasuk plat hadapan dan belakang, pelekat cermin sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) serta caj penghantaran.

Menurut beliau, syarikat pengeluar dan pengedar kenderaan boleh menempah JPJePlate bagi pihak pelanggan yang membeli kenderaan ZEV baharu melalui laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula hari ini.

“Pelaksanaan JPJePlate dibuat bagi melipatgandakan langkah pendigitalan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mewujudkan evolusi baharu dalam sistem pengenalan kenderaan atau 'Vehicle Identification System' (VIS).

“JPJePlate tidak melibatkan kenderaan konvensional kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan pelaksanaannya terhadap ZEV berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran JPJePlate bertempat di Dewan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), di sini pada Isnin.

Jun lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan struktur kadar Lesen Kenderaan Memandu

(LKM) baharu untuk ZEV dengan harga setara atau lebih murah berbanding kereta berasaskan bahan api fosil, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Artikel Berkaitan:

Dikhabarkan, pelbagai dasar dan insentif ditawarkan bagi menggalakkan peralihan kepada EV persendirian di samping meningkatkan jumlah syarikat untuk melabur dalam penggantian 'fleet' kenderaan dengan EV.

Dalam enam bulan pertama tahun ini, jumlah EV berdaftar dilaporkan melonjak kepada 12,850 berbanding 5,131 kenderaan untuk tempoh sama pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 150 peratus.

Anthony turut memaklumkan, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri termasuk Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan syarikat pengeluar serta pengedar kenderaan pada 14 Jun lalu.

"Langkah ini bagi memastikan inisiatif terbabit mendapat maklum balas dan kerjasama daripada semua pihak.

"Saya dimaklumkan oleh Handal Ceria bahawa mereka telah menjalankan kerjasama dengan syarikat ChargeEV untuk menaja kredit pengecasan kepada kenderaan EV baharu yang dipasang pada JPJePlate," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!