UPM akui sengit kekal status juara, UiTM sedia rampas gelaran

Kontinjen UPM tekad mempertahankan gelaran juara pada SUKIPT UUM 2024. Gambar kecil: Mohammad Hamiruce, Mohammad Noor
Kontinjen UPM tekad mempertahankan gelaran juara pada SUKIPT UUM 2024. Gambar kecil: Mohammad Hamiruce, Mohammad Noor
A
A
A

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) hadir dengan sasaran mempertahankan juara keseluruhan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengakui bakal diberikan cabaran sengit oleh pencabar terdekat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga beberapa kontinjen lain, namun persiapan rapi telah dilakukan untuk mencapai hasrat tersebut.

Ketua Kontinjen UPM, Profesor Dr Mohammad Hamiruce Marhaban berkata, persediaan awal telah dilakukan oleh kontinjen tersebut yang dibarisi pemain negara yang beraksi di pentas Sukan Malaysia (Sukma) sehingga Olimpik.

Menurutnya, juara SUKIPT 2012, 2018 dan 2022 itu hadir dengan kekuatan kontinjen yang besar bagi menyertai 26 acara yang dipertandingkan di Sintok sehingga 14 September ini.

“Kita hadir dengan harapan untuk mengekalkan kejuaraan. Namun kali ini kita melihat semakin ramai pencabar.

“UiTM sudah biasa tapi kali ini (ada pencabar lain) seperti Politeknik Malaysia dan tidak dilupakan pasukan tuan rumah, UUM yang kebiasaannya akan melakukan kejutan selain merupakan kontinjen paling besar pada SUKIPT 2024,” katanya ketika ditemui pemberita pada malam Sabtu.

Mohammad Hamiruce berkata, kontinjen tersebut sekurang-kurangnya mahu menyamai pencapaian yang berjaya dilakukan pada edisi 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kutipan 38 emas, 19 perak dan 20 gangsa.

Sementara itu, Ketua Kontinjen UiTM, Profesor Dr Mohammad Noor Jalil pula berkata, mereka bersedia untuk merampas kembali kejuaraan keseluruhan itu yang pernah dijulang pada edisi 2014 dan 2016.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, persediaan rapi sudah dilakukan sejak sekian lama dalam usaha untuk melakukan kejutan dan kesan positif dapat dilihat semasa melakukan persiapan dan juga pertandingan di peringkat dalaman universiti tersebut.

“Hari ini adalah untuk semua atlet membuktikan selepas banyak persiapan dilakukan dan pihak pengurusan memang mengharapkan kita dapat muncul juara keseluruhan pula.

“Sebelum ini, UiTM kebiasaannya ketinggalan kepada UPM dalam acara olahraga dan itulah yang telah diberikan perhatian,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!