Bayi maut di taska: KPM sedia beri khidmat kaunseling

Fadhlina (tiga dari kanan) melawat reruai pada Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan di Dewan SMK Seri Perdana Kluang, pada Isnin.
Fadhlina (tiga dari kanan) melawat reruai pada Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan di Dewan SMK Seri Perdana Kluang, pada Isnin.
A
A
A

KLUANG - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan sokongan termasuk kaunseling kepada seorang guru wanita selepas anaknya berusia lapan bulan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak di Alor Gajah Melaka.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga akan memastikan guru berkenaan diberikan perhatian dan dibela sewajarnya.

"Pertamanya saya ucapkan takziah kepada guru berkenaan dan keluarganya. Sesungguhnya tragedi yang berlaku itu memberi kesan kepada kita semua.

"Insya-ALLAH kita akan lakukan apa sahaja yang terbaik sebagai sokongan sosial kepada guru ini.

"Di pihak KPM, pelbagai langkah sudah diambil bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan guru ini dijaga," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini, pada Isnin.

Sebelum itu, pada Jumaat media melaporkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka.

Lebih menyedihkan, bayi lapan bulan itu merupakan zuriat yang ditunggu selama 13 tahun.

Artikel Berkaitan:

Bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata, disebabkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat, isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 39, yang bertugas sebagai guru sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama setahun.

Menurutnya, bayinya baru lima hari dihantar ke taska berkenaan memandangkan cuti tanpa gaji isteri hampir habis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!