Plat putih, kod indeks hitam dan hijau antara ciri terbaharu JPJePlate
CYBERJAYA - Plat putih dengan nombor indeks berwarna hitam dan hijau sebagai kod kenderaan elektrik (EV) antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan pada JPJePlate.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilihan ketiga-tiga warna pada plat itu adalah untuk memudahkan pengguna kenderaan lain mengenal pasti jenis kereta berkenaan di atas jalan raya.
“Warna-warna ini dipilih supaya pengguna jalan raya senang nak kenal pasti contohnya hijau memang khusus untuk EV.
“Mudah untuk orang lain bezakan kenderaan EV dengan kereta konvensional yang lain.
"Selepas ini mungkin ada kod warna lain di bahagian kiri plat untuk kenderaan lain pula," katanya ketika sidang akhbar pelancaran JPJePlate di Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) dekat sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Urusan Kumpulan Handal, Lim Han Weng.
Jun lalu, MOT mengumumkan struktur kadar Lesen Kenderaan Memandu (LKM) baharu untuk ZEV yang harganya setara atau lebih murah berbanding kereta berasaskan bahan api fosil, berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Dikhabarkan, pelbagai dasar dan insentif ditawarkan bagi menggalakkan peralihan kepada EV persendirian di samping meningkatkan jumlah syarikat untuk melabur dalam penggantian 'fleet' kenderaan dengan EV.
Dalam enam bulan pertama tahun ini, jumlah EV berdaftar dilaporkan melonjak kepada 12,850 berbanding 5,131 kenderaan untuk tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 150 peratus.
Sementara itu, Anthony memaklumkan, JPJePlate akan diintegrasikan bersama sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) tidak lama lagi, namun ia sedang dalam proses pelaksanaan.
“JPJePlate memang dah ada RFID tetapi sekarang kami sedang usaha untuk mengintegrasikannya dengan Touch ‘n Go.
“Ia supaya selepas ini bayaran tol boleh menggunakan satu RFID sahaja tak perlu banyak-banyak RFID,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!