Polis elak bercampur individu berkepentingan, bimbang pengaruhi siasatan

Azizi ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di IPK Perak pada Isnin.
Azizi ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di IPK Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengingatkan pegawai dan anggotanya mengelakkan diri daripada berhubung rapat dengan individu atau kumpulan yang mempunyai kepentingan.

Beliau berkata, kedudukan itu dikhuatiri akan mempengaruhi siasatan terutama apabila melibatkan salah laku dan jenayah kumpulan berkenaan.

"Mereka ini akan mengambil kesempatan dan mungkin menjadikan pasukan kita sebagai batu loncatan, memanipulasi pasukan kita untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Kelak ia akan mengganggu siasatan, mempengaruhi pegawai-pegawai penyiasat kita untuk melaksanakan siasatan telus, malah ada juga yang cuba menunjuk ajar kita mengikut acuan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.

Azizi berkata, sebagai pasukan keselamatan, setiap anggota dan pegawai harus teguh berdiri setia dan meneruskan penugasan tanpa mengira keadaan.

"Saya minta setiap ketua dan penyelia ambil cakna tentang tingkah laku pegawai anggota bawahan, buat teguran awal sebelum ianya menjadi barah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis itu, Azizi turut menyampaikan surat penghargaan kepada tiga orang awam atas komitmen membantu pasukan polis iaitu Mohd Nazri Khalid dari Majlis Kebudayaan Negeri Perak; Jurutera Awam Penguasa (Bangunan) Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Tajuddin Yahaya dan Juruukur Bangunan JKR negeri, Azlan Abdul Aziz.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!