Tuntutan kumpulan Sulu: Kemenangan hadiah Hari Sabah, Hari Malaysia
KOTA KINABALU - Keputusan kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu membuktikan bahawa Sabah berdaulat dalam Malaysia sekali gus sebagai hadiah sempena Hari Sabah dan Hari Malaysia kepada rakyat Sabah.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Kota Kinabalu, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan itu adalah berita baik buat seluruh rakyat Sabah.
"Ia sekali gus menamatkan tuntutan dari Kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak dari awal lagi.
"PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu serius untuk memastikan segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera.
"Kejayaan ini merupakan hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena Sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, PBRS akan terus menyokong segala usaha daripada kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa.
"Terima kasih kerana sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumum kerajaan telah memperoleh kemenangan penting terakhir di Mahkamah Agung Belanda, yang membuat keputusan berpihak kepada Malaysia dan menolak rayuan difailkan oleh kumpulan Sulu.
Katanya, keputusan Mahkamah Agung Belanda iaitu suatu yang muktamad dan sahih, menamatkan percubaan pihak menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!