Peniaga dakwa gerai Jalan Panggung semakin lesu

Suasana gerai di Jalan Panggung Kluang kelihatan semakin suram dengan struktur gerai banyak yang rosak.
Suasana gerai di Jalan Panggung Kluang kelihatan semakin suram dengan struktur gerai banyak yang rosak.
A
A
A

KLUANG - Gerai Jalan Panggung yang dibina awal tahun 80-an sebelum ini pernah menjadi lokasi tumpuan penduduk sebagai lokasi mendapatkan barangan keperluan, pakaian selain menjamu selera suatu ketika dahulu, namun kini kian lesu.

Malah bumbung gerai terbabit juga banyak yang rosak, selain struktur kayunya juga semakin uzur kerana dimakan anai-anai.

Bertambah buruk apabila kawasan berkenaan juga berdepan isu banjir kilat terutama ketika musim hujan pada hujung tahun disebabkan Sungai Mengkibol hanya terletak kira-kira 20 meter.

Daripada kira-kira 80 peniaga yang berniaga di situ kini tinggal hanya sekitar 20 peniaga yang menjalankan perniagaan pakaian, cenderamata dan kedai makan.

Seorang peniaga, Ismail Mansur, 66, yang menjual pakaian dan barangan untuk mengerjakan haji serta umrah memberitahu, dia sudah berniaga di situ sejak lebih 30 tahun lalu.

Ismail menunjukkan paras air banjir dikedainya di Jalan Panggung, Kluang setiap kali hujan lebat
Ismail menunjukkan paras air banjir dikedainya di Jalan Panggung, Kluang setiap kali hujan lebat

Dakwanya, sebahagian daripada gerai-gerai di situ sudah tidak boleh digunakan lagi kerana terlalu uzur, atap bocor dan mula mereput di makan anai-anai.

"Gerai di sini boleh dikatakan sebagai simbolik perpaduan penduduk di Kluang kerana peniaganya terdiri daripada pelbagai kaum, Melayu, India dan Cina.

Artikel Berkaitan:

"Meskipun kadar sewanya hanya RM100 sebulan, namun pelanggan semakin kurang berikutan keadaan gerai yang usang menjadikan orang ramai tidak berminat untuk datang seterusnya menjejas jualan harian kami di sini.

"Diburukkan lagi dengan kejadian banjir kilat yang sering berlaku menyebabkan peniaga berdepan kerugian," katanya.

Ah Chu menunjukkan keadaan bumbung gerai yang banyak telah rosak.
Ah Chu menunjukkan keadaan bumbung gerai yang banyak telah rosak.

Jeteru, Ismail mengharapkan pemimpin yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dapat memberikan perhatian kepada gerai-gerai di Jalan Punggung dekat sini.

Jelasnya, penambahbaikan infrastruktur boleh dilakukan bagi memberi kelesaan kepada peniaga dan seterusnya menggamit semula kedatangan orang ramai ke sini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Chia Ah Chu, 66, turut mengharapkan perkara yang sama dengan mencadangkan pembinaan bangunan baharu yang lebih moden.

Baginya, cadangan tersebut akan menghidupkan semula aktiviti perniagaan di Jalan Panggung.

"Sekiranya berlaku pembaharuan ia bukan sahaja memberi impak perniagaan kepada peniaga-peniaga di sini bahkan peniaga kawasan yang terletak berdekatan di Jalan Panggung ini juga akan menerima tempiasnya.

"Selain itu, ia juga akan menarik kedatangan orang ramai kerana di sini bukan hanya menjamu selera tetapi juga mendapatkan keperluan harian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!