Malaysia berpeluang baiki ranking dunia
KEJAYAAN Malaysia merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka 2024 bakal mengubah kedudukan negara dalam ranking dunia.
Skuad Harimau Malaya berpeluang memanjat tiga anak tangga dari tempat ke-134 ke 131 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kenaikan tersebut susulan gelaran juara Pestabola Merdeka selepas menumpaskan Lubnan dan Filipina.
Berdasarkan perkiraan yang dibuat laman footranking.com, Harimau Malaya menambah 10.06 mata daripada dua perlawanan itu.
Sebanyak 4.48 mata dikutip ketika mengalahkan Filipina 2-1, Rabu lalu manakala 5.58 mata lagi selepas membenam Lubnan 1-0, pada malam Ahad.
Ia menyaksikan Malaysia memungut 1,117.64 mata keseluruhan dan naik ke tangga 131 berbanding ranking semasa 134 seperti yang dikemas kini FIFA pada 18 Julai lepas.
Kenaikan tersebut turut menyaksikan pasukan bimbingan Pau Marti Vicente memotong Indonesia, Gambia dan Rwanda.
Kedudukan itu bagaimanapun masih belum muktamad sebelum kemas kini rasmi FIFA pada 19 September ini.
Ia susulan beberapa pasukan lain termasuk Indonesia dan Rwanda akan mengharungi perlawanan selepas ini.
Indonesia mengikat pasukan di ranking 56 dunia, Arab Saudi 1-1 dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, Jumaat lalu berjaya menambah 6.88 mata dan naik satu anak tangga ke kedudukan 132 dunia.
Malah, skuad Garuda masih berpeluang untuk menokok mata dan memperbaiki kedudukan ranking sebelum kemas kini FIFA jika berjaya meraih keputusan positif berdepan Australia pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!