Penjenayah tertinggal alatan pecah masuk surau

Gunasekaren (kanan) dan Mohd Rafi (tengah) ketika melihat keadaan lokasi pada Isnin. Gambar kecil: Tukul yang dipercayai milik penjenayah yang tertinggal di lokasi.
Gunasekaren (kanan) dan Mohd Rafi (tengah) ketika melihat keadaan lokasi pada Isnin. Gambar kecil: Tukul yang dipercayai milik penjenayah yang tertinggal di lokasi.
A
A
A

SEREMBAN - Cubaan memecah tabung utama surau tidak kesampaian, bahkan tertinggal pula alatan untuk tujuan jenayah tersebut di sebuah surau dekat Taman Seremban Jaya di sini pada Ahad.

Penjenayah berkenaan bagaimanapun hanya sempat melarikan wang tunai lebih kurang RM200 di dua tabung lain di lokasi sama.

Pengerusi surau berkenaan, Mohd Rafi Mohd Baharin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sebelum solat Zuhur dan disedari Imam 1 surau kira-kira jam 12.50 tengah hari.

"Sebaik diberitahu ahli jawatankuasa surau bergegas ke surau dan mendapati dua tabung yang diletakkan di ruangan solat wanita telah dipecah selain duit syiling bertaburan.

"Wang kertas dengan anggaran RM100 hingga RM200 telah dibawa lari selain terdapat kesan umpil di pintu utama, tabung dan almari," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaren.

Beliau berkata, berikutan itu satu laporan polis telah dibuat agar tindakan lanjut dapat dilakukan oleh pihak berkenaan sekali gus menangkap pelakunya.

Dalam pada itu, Gunasekaren berkata, pihaknya akan membekalkan kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan berikutan CCTV sebelum ini telah rosak.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah membuat permohonan kepada pihak polis supaya rondaan secara berkala dapat dilakukan di lokasi agar kejadian sama tidak berulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!