Pencemaran bau kimia: 38 Orang Asli dipindahkan ke balai raya
KOTA TINGGI – Seramai 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan di sini, berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang ekoran pencemaran bahan kimia yang berlaku di kampung tersebut, sejak Khamis lalu.
Pemindahan melibatkan 10 keluarga itu dilakukan selepas penduduk dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.
Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff bimbang susulan pencemaran bau bertambah buruk.
“Pencemaran bau kimia tersebut dikesan pada Rabu lalu dan usaha memindahkan penduduk dilakukan pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Hashim pada malam Khamis.
“Pemindahan perlu dilakukan kerana bau yang sangat kuat berikutan lokasi pembuangan bahan kimia itu di Sungai Linggiu hanya kilometer dari Kampung Orang Asli Pasir Intan," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Hamdan berkata, pada hari kejadian penduduk kampung berjaya menahan sebuah lori tangki yang membuang cecair hitam dipercayai bahan kimia ke sungai.
Beliau mendakwa, itu kali ketiga pihak berkenaan membuang bahan kimia di sungai tersebut sehingga memberi kesan yang teruk kepada penduduk.
“Pemandu dan kelindan lori mengaku mereka cuma mengambil upah dari sebuah kilang di Skudai untuk membuang bahan kimia di sungai tersebut.
"Kedua-duanya sudah diserahkan kepada polis untuk tahanan reman dan kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Justeru, beliau berharap, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkaitan segera mengambil tindakan termasuk membersihkan kawasan sungai tersebut dari bahan kimia berkenaan.
Dalam pada itu, penduduk, Tuasa Abu, 48, mendakwa, dia, suami serta anak bongsunya mengalami pening kepala, muntah dan demam sehingga kini akibat pencemaran tersebut.
“Bau pencemaran itu busuk seperti bau gas dan kali pertama berlaku di kampung kami.
"Suami saya yang menghidap semput mengalami sesak nafas dan cukup bimbang dengan keadaan kesihatannya,” katanya.
Ibu berpantang, Rozaha Sita, 32, pula mengakui mengalami pening dan loya dan keluarganya terpaksa berpindah ke balai raya bersama bayi berusia 22 hari.
“Saya dan suami mengalami pening kepala dan anak pula kembung perut. Mujur bayi yang merupakan anak keempat, tidak ada apa-apa.
"Selepas tiga jam bau busuk berkenaan tidak hilang kami diarah berpindah ke balai raya ini,”ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!