Pos Malaysia sasar buka 50 cawangan Pos Shop tahun ini

Nie Ching (tiga dari kanan) melancarkan pembukaan Pos Shop Pudu pada Isnin.
Nie Ching (tiga dari kanan) melancarkan pembukaan Pos Shop Pudu pada Isnin.
A
A
A

POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menyasarkan pembukaan 50 cawangan Pos Shop di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao berkata, sebanyak 36 cawangan Pos Shop telah beroperasi setakat ini yang menawarkan kemudahan seperti Pos Kafe serta kedai runcit serba guna.

Menurutnya, Pos Shop merupakan komponen penting dalam pelan transformasi Pos Malaysia yang lebih luas selari dengan misi merevolusikan perkhidmatan pos untuk kekal relevan pada era digital.

"Sejak Pos Shop pertama di Jalan Medan Tuanku dilancarkan pada Mei 2023 telah menyaksikan peningkatan purata sebanyak 34 peratus jumlah pengunjung.

"Ini membuktikan kejayaan konsep peruncitan inovatif menggabungkan perkhidmatan pos tradisional dengan kemudahan moden," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa pelancaran Pos Shop ke-36 di Pos Shop Pudu yang disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada Isnin.

Kakitangan Pos Malaysia pada pelancaran Pos Shop ke-36 iaitu Pos Shop Pudu pada Isnin.
Kakitangan Pos Malaysia pada pelancaran Pos Shop ke-36 iaitu Pos Shop Pudu pada Isnin.

Fiona berkata, Pos Malaysia akan terus melakukan inovasi dan memperhalusi penawaran produk selaras dengan permintaan pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Selain menyediakan penyelesaian sehenti komprehensif untuk pengeposan dan mendapatkan barangan runcit, kami menyediakan peluang kepada PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) tempatan mempamerkan dan menjual produk mereka.

“Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan pembangunan ekonomi tetapi juga menyokong keperluan komuniti kami yang memberi situasi menang-menang antara Pos Malaysia, perniagaan tempatan dan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching memuji inisiatif Pos Malaysia yang terus mengambil langkah transformasi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Pos Malaysia berusaha membangunkan bahagian runcitnya dan menyokong usahawan tempatan dalam industri kecil sederhana melalui jualan produk di Pos Shop.

"Kemudahan itu bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelanggan dan memenuhi keperluan komuniti, tetapi juga memberikan sumbangan yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti negara," katanya.

Pada majlis berkenaan, Nie Ching telah mengagihkan bendera Malaysia kepada pelanggan sempena Bulan Kemerdekaan.

Pos Malaysia turut akan melancarkan koleksi setem edisi khas Hari Malaysia yang boleh didapati di semua 90 Biro Filateli di seluruh negara termasuk 13 Pejabat Pos Besar bermula 16 September ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!