Alumni UIAM mahu PM umum segera rektor baharu

Persatuan Alumni UIAM mahu rektor baharu yang bakal dipilih mempunyai nilai integriti dan kewibawaan akademik dalam memimpin pengurusan UIAM. Gambar hiasan
Persatuan Alumni UIAM mahu rektor baharu yang bakal dipilih mempunyai nilai integriti dan kewibawaan akademik dalam memimpin pengurusan UIAM. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyegerakan pengumuman rektor baharu UIAM.

Presidennya, Khalek Awang berkata, kekosongan jawatan rektor sejak 31 Ogos lalu dilihat tidak baik dari segi tatakelola.

Justeru menurutnya, pelantikan rektor perlu dilakukan serta-merta bagi memulihkan kembali kedudukan UIAM yang telah menyimpang daripada falsafah asal penubuhan.

“Hari ini reputasi dan prestasi UIAM juga merosot dari segi kedudukan dunia berbanding semasa Anwar menjadi Presiden UIAM pada zaman 90-an.

“Rekod UIAM juga merosot setiap tahun dari segi kemasukan jumlah pelajar antarabangsa.

“Hanya seramai 183 pelajar antarabangsa mendaftar pada sesi pengajian lepas berbanding lebih 1,000 orang pada tahun-tahun sebelum 2020,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Rektor ke-6 UIAM digalas oleh Profesor Emiritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan beliau menamatkan perkhidmatannya selepas enam tahun menyandang jawatan berkenaan.

Difahamkan individu yang bakal dilantik sebagai Rektor UIAM ke-7 masih menjadi teka-teki sehingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

Khalek turut memaklumkan, pihaknya berharap agar rektor baharu yang bakal dipilih mempunyai nilai integriti dan kewibawaan akademik dalam memimpin pengurusan UIAM.

“Paling penting rektor baharu perlu memahami dan dapat menyokong kembali falsafah UIAM yang asal,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!