Pengusaha keropok trauma cermin kereta kena pecah

Keadaan dalam kereta Nor Jannah selepas dirosakkan dalam kejadian malam Jumaat lalu.
Keadaan dalam kereta Nor Jannah selepas dirosakkan dalam kejadian malam Jumaat lalu.
A
A
A
KOTA BHARU - Hasrat pasangan suami isteri untuk menjamu selera di sebuah restoran ikan bakar popular di Jalan Wakaf Che Yeh dekat sini bertukar tragedi apabila cermin kereta Myvinya dipecahkan individu tidak dikenali dalam kejadian malam Jumaat lalu.

Pengusaha keropok dari Pantai Geting, Tumpat, Nor Jannah Zainuddin, 30, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu dia turut mengalami kerugian hampir RM4,000 apabila beg tangannya yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang turut dilarikan.

Menceritakan kejadian itu, Nor Jannah memberitahu, sebelum kejadian dia dan suami, Mohamad Nasrullah Azmi, 33, bersama dua anak berusia tiga dan enam tahun menghantar keropok yang dipesan pelanggan di pusat bandar sebelum ke restoran berkenaan.

"Kami tiba di restoran itu kira-kira jam 11 malam dan suami meletakkan kenderaan hanya 20 meter dari ruang masuk restoran berkenaan.

"Setengah jam kemudian ketika keluar dari restoran, saya terkejut apabila mendapati cermin kenderaan pecah berserakan di tempat duduk pemandu serta penumpang manakala beg tangan yang disimpan sementara di bawah tempat duduk bahagian depan turut hilang," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia turut mendapati tiada kesan umpil pada keretanya sebaliknya hanya cermin yang pecah dan tercabut bahkan bunyi daripada alat penggera kenderaannya yang sebelum ini memang berfungsi dengan baik juga tidak kedengaran ketika kejadian berlaku.

"Saya rasa mereka sudah memerhatikan kami atau mangsa mereka yang tidak membawa beg tangan bersama ketika keluar dari kenderaan.

"Sehingga kini saya masih trauma dengan kejadian itu dan tidak boleh bersendirian kerana terganggu dengan kejadian berkenaan dan saya juga telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Daerah Kota Bharu," katanya.

Kejadian berkenaan juga tular di media sosial dan ramai yang turut berkongsi pengalaman mereka serta menasihatkan agar berwaspada di kawasan terbabit.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu , Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan.

"Orang ramai juga perlu berwaspada dengan penjenayah yang mungkin akan mengambil peluang dengan situasi di tengah malam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!