Pengurangan kepadatan kurikulum mudahkan guru, murid

Azman bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar Intervensi Kurikulum di Putrajaya pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Azman bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar Intervensi Kurikulum di Putrajaya pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengurangan kepadatan kurikulum sehingga 50 peratus bagi beberapa topik dalam mata pelajaran Matematik dan Sains Tahap 1 telah memudahkan guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, inisiatif yang dilaksana 18 Mac lalu turut memudahkan murid-murid memahami semua standard pembelajaran yang dikehendaki dalam kurikulum berkenaan.

"Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil berat kegusaran oleh ibu bapa berkaitan aras kurikulum yang dikatakan tinggi sehingga menyebabkan murid sukar memahami kandungan mata pelajaran khususnya di Tahap 1," katanya menerusi sidang akhbar Intervensi Kurikulum di sini pada Isnin.

Menurutnya, empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris telah terbabit dalam penyusunan semula Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3.

"Sebenarnya kementerian telah mengambil langkah proaktif pada Mac 2024 berdasarkan maklum balas diterima dalam kalangan masyarakat.

"Jadi, kurikulum bagi empat mata pelajaran berkenaan telah disusun semula," jelas beliau.

Azman berkata, selari dengan pengurangan kepadatan melalui penyusunan semula itu, juga melaksanakannya dengan bahan sokongan yang telah disediakan iaitu modul bimbingan (MOBIM).

"Guru boleh memilih untuk menggunakan dokumen tersebut dalam PdP atau pun MOBIM untuk keempat-empat mata pelajaran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tinjauan awal kementerian mendapati, 18,000 daripada 20,000 guru menggunakan dokumen penjajaran," jelas beliau.

Beliau berkata, guru perlu memastikan murid dapat menguasai kemahiran paling minimum bagi tajuk-tajuk sukar itu supaya keciciran pembelajaran tidak berlaku.

"Guru juga mempunyai autonomi untuk merancang dan menyusun kandungan kurikulum dengan mengambil kira latar belakang murid, persekitaran dan sumber yang ada bagi mengoptimumkan keberhasilan pembelajaran murid,"

Autonomi guru merujuk kepada hak dan tanggungjawab untuk menentukan pelaksanaan kurikulum.

Malah, guru diberikan kebebasan untuk melaksanakan kurikulum serta PdP dalam bilik darjah dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) atau Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.

Sementara itu mengulas kritikan ibu bapa dan masyarakat berhubung silibus yang tinggi meskipun pengurangan kepadatan kurikulum telah dibuat KPM, Azman menjelaskan pihaknya sentiasa bersedia meneliti perkara yang dibangkitkan.

"KPM sentiasa melaksanakan penelitian, kajian berkaitan dengan isu yang dibangkitkan. Sekiranya ada isu, kementerian akan mengambil inisiatif untuk menanganinya.

"Kita meneliti pandangan masyarakat, kandungan kurikulum serta kumpulan sasar murid yang pelbagai. Maka kita susun semula, sejajarkan semula.

"Jadi KPM sentiasa meneliti dari semasa ke semasa berkaitan kurikulum sedia ada," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!