Simpan impian jadi jurutera kimia hafaz 30 juzuk al-Quran

Wan Ahmad Syakir (kanan) dan Nur Khalidah antara empat penerima pingat emas sempena Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke - 43) dan hadiah kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di Kuala Terengganu.
Wan Ahmad Syakir (kanan) dan Nur Khalidah antara empat penerima pingat emas sempena Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke - 43) dan hadiah kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023, menyimpan impian untuk menjadi seorang jurutera kimia berstatus hafiz al-Quran.

Bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut, Wan Ahmad Syakir Alwi Wan Mohd Radzi, 19, berkata, cita-cita tersebut diimpikan sejak berada di bangku sekolah dan nekad untuk merealisasikannya suatu hari nanti.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak atas pencapaian yang saya peroleh pada hari ini.

"Sebenarnya, ini merupakan petanda yang ALLAH SWT tunjuk bahawa potensi yang ada pada diri kita boleh pergi jauh lagi daripada apa yang kita impikan.

"Ini mungkin bukan pengakhiran tapi permulaan untuk saya melangkah lebih jauh lagi mencapai apa yang saya cita-citakan," katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke - 43) dan hadiah kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada Isnin.

Dari kiri: Muhammad Hanif Hishamuddin, Nurul Iman Asmadi, Nur Khalidah dan Wan Ahmad Syakir antara penerima sempena Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke - 43) dan hadiah kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI).
Dari kiri: Muhammad Hanif Hishamuddin, Nurul Iman Asmadi, Nur Khalidah dan Wan Ahmad Syakir antara penerima sempena Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke - 43) dan hadiah kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI).

Wan Ahmad Syakir yang merupakan anak kedua daripada lima beradik, berasal dari Kampung Amir, Besut telah menamatkan hafalan al-Quran dan bergelar hafiz pada 2019 ketika berusia 14 tahun.

Anak kepada pasangan guru, Zawahir Che Mood, 45, dan Wan Mohd Radzi Wan Sulaiman, 50 itu kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Ahmad Syakir berkata, kedua ibu bapanya menjadi sumber inspirasi untuk mencapai kejayaan cemerlang.

"Sumber inspirasi datang daripada ibu bapa dan diri sendiri. Apabila dapat keputusan yang membanggakan, kita akan cuba untuk dapat pencapaian yang lebih baik.

"Usaha itu ikut acuan kita sendiri, boleh ikut cara orang tapi kita perlu cari cara unik yang kita sendiri boleh buat.

"Misalnya apabila ulangkaji pelajaran, saya akan cuba buat sendirian dahulu kerana lebih fokus, bila kurang sesuatu kita akan usaha sedikit demi sedikit dan akan sentiasa berusaha lebih lagi untuk pencapaian lebih baik," katanya.

Sementara itu, turut melakar kejayaan cemerlang ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Nur Khalidah Adilah Mohammad, 19.

Anak kepada pasangan, Mohammad Yusof, 55 yang merupakan seorang tukang cat dan isteri, Zaiton Ishak@Yusof, 48, seorang suri rumah kini melanjutkan pengajian di UTP dalam bidang Sains Komputer.

"Saya bersyukur kerana terdiri daripada empat pelajar yang menerima anugerah ini. Saya harap ia dapat menjadi pemangkin kejayaan cemerlang kepada yang lain.

"Apa yang saya lakukan sepanjang menempuh peperiksaan ini ialah saya membuat jadual belajar dan akan mengikut apa yang dirancang," katanya yang bercita-cita menjadi penganalisis data.

Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kesemua penerima Anugerah Pingat Emas menerima sehelai blazer, pingat emas, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM4,000 serta sijil penghargaan.

Penerima anugerah khas dan pelajar terbaik pula menerima sehelai blazer, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM2,000 serta sijil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!