Tanaman padi ladang pintar mulai tahun ini
ALOR SETAR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bercadang memperkenalkan penanaman padi berkonsepkan ladang pintar bermula tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, ia bagi mencapai sasaran meningkatkan hasil padi dengan melaksanakan empat musim tanaman setahun, berbanding dua musim pada ketika ini.
Menurutnya, kaedah tersebut bukan sesuatu yang mustahil kerana tanaman padi berkonsepkan ladang pintar menggunakan kaedah baharu antaranya teknologi mikrob, aplikasi 5G serta penggunaan dron secara lebih meluas.
“Kita akan beralih kepada ladang pintar secara berperingkat selain teknologi mikrob. Kita gunakan baja organik, kepelbagaian benih padi baharu serta peralatan canggih,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tajar dengan tiga buah syarikat iaitu Advansia Sdn Bhd, Giganti Solutions Sdn Bhd serta Vivendi Asset Sdn Bhd untuk Projek Sawah Padi Perintis MyGreenTeam di sini hari ini.
Phahrolrazi berkata, teknologi mikrob belum dikenali secara meluas, namun sudah mula diperkenalkan di Kedah bermula tahun ini.
“Teknologi mikrob adalah untuk kompos jerami kepada baja. Kebiasaan jerami dibakar atau dibiar reput dan prosesnya lambat apabila gunakan mikrob ia mempercepatkan pereputan dan baja yang dihasilkan subur,” katanya.
Menurutnya, Nafas akan menerajui perubahan kaedah pertanian konvensional kepada kaedah moden dengan menyasarkan hasil padi mencecah 10 metrik tan/hektar berbanding lima metrik tan/hektar di kebanyakan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Antara cadangan termasuk menggunakan mesin traktor alat kawalan jauh serta mesin tuai berteknologi tinggi. Benih padi tumbuh sekitar 60 hingga 70 hari untuk keluarkan hasil, namun sistem pengairan hendaklah kaedah teknologi baharu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!