JIM laksana pusingan kerja, pendekkan tempoh tugas di tempat sensitif
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan kaedah pusingan kerja termasuk memendekkan tempoh tugasan di tempat sensitif secara berterusan sebagai langkah tangani isu salah laku di pintu masuk negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya jelas tidak berkompromi dengan pegawai yang melanggar akta, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) termasuk arahan tetap Ketua Pengarah.
Menurutnya, di peringkat jabatan, JIM mahu pastikan pegawai yang berada di pintu masuk adalah mereka yang berintegriti sekali gus menjadi landasan kepada setiap pegawai bertugas.
"Oleh yang demikian, apa tindakan yang selalu kita buat ialah dengan melakukan 'spotcheck' dan naziran khususnya di pintu masuk.
"Untuk rekod, sejak tahun lepas hingga terkini, kita telah laksanakan 277 naziran di kawalan pintu masuk negara untuk memastikan pegawai yang bertugas mematuhi prosedur, tidak mudah ambil tindakan di luar peraturan kita dan sekiranya ingkar, tindakan tatatertib akan diambil," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sini pada Isnin.
Tambahnya, jika pegawai itu didapati tidak sesuai bertugas di pintu masuk, pertukaran akan dilaksanakan dan JIM tidak mahu seseorang pegawai berada terlalu lama di tempat sensitif.
"Kalau dulu kita kata lima tahun, tetapi jawatan sensitif tak boleh lebih tiga tahun. Ada keperluan saya akan pendekkan lagi sehingga setahun dan itu menjadi sasaran kita.
"Kita buat pusingan kerja secara berterusan termasuklah di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Sultan Abu Bakar, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Itu fokus kita," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JIM menyokong sepenuhnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai imigresen berhubung isu rasuah sindiket bawa masuk warga asing di KLIA.
"Kita serahkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk siasat mereka," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ruslin memaklumkan pada tahun ini sejak Januari lalu hingga 6 September pihaknya telah melaksanakan 13,833 operasi.
"Seramai 119,270 warga asing diperiksa dan 32,445 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa, tiada dokumen serta salah guna pas.
"JIM turut menahan 1,087 majikan kerana menggaji dan melindungi PATI," ujarnya.
@sinarharianonline JIM tidak mahu seseorang pegawai berada terlalu lama di tempat sensitif #fyp #SinarHarian #JIM #Imigresen #Tugas #RuslinJusoh #SOP
News - AShamaluevMusic
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!