Bom lama ditemui di ladang sawit
TAMPIN - Objek menyerupai bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) ditemui di sebuah ladang sawit di Jalan Batu Belang di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 8.42 pagi.
"Hasil dari maklumat tersebut sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin telah pergi ke lokasi kejadian dan telah memasang tali rintangan polis bagi memastikan kawasan tersebut adalah kawasan larangan dan bahaya.
"Unit pemusnah bom Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan juga telah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bom berkenaan adalah dari jenis mortar 81mm berukuran 36 sentimeter panjang.
Katanya, tindakan pemusnahan telah dilakukan oleh Unit Pemusnah Bom IPK Negeri Sembilan dan Unit Pemusnah Bom IPD Tampin pada jam 11.51 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!