Anak Terengganu cemerlang terima insentif, hadiah bernilai RM321,300

Mohd Azmi (kiri) mengiringi Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu, Nur Khalidah Adilah Mohammad.
Mohd Azmi (kiri) mengiringi Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu, Nur Khalidah Adilah Mohammad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menyediakan sebanyak RM321,300 bagi pemberian insentif dan hadiah kepada seramai 634 anak Terengganu yang merekod pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam pada 2022.

Pengarah Yayasan Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, anugerah itu disampaikan kepada pelajar cenerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurutnya, seramai empat penerima Anugerah Pingat Emas, seorang penerima Anugerah Khas, dua penerima Anugerah Terbaik STPM dan STAM serta 627 pelajar cemerlang lain menerima insentif tersebut.

"Kita berbangga kerana dapat meraikan kejayaan anak Terengganu pada hari ini dan pencapaian membanggakan ini membuktikan Terengganu tidak ketandusan melahirkan bakat-bakat yang hebat dalam bidang pendidikan.

"Kejayaan yang dilakar ini akan menjadi penanda aras kepada pelajar lain untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan sekali gus menjamin masa depan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke-43) dan hadiah kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada Isnin.

Hadir sama bagi menyempurnakan majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, beliau berkata, penguasaan teknologi memainkan peranan penting terutama ketika memasuki alam pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

"Di samping ilmu pengetahuan global bagi membina keperibadian unggul dan kompeten, 'softskills' juga perlu ditingkatkan supaya menjadi nilai tambah unik yang tidak dimiliki individu lain," ujar beliau.

Anugerah Emas Yayasan Terengganu diwujudkan sejak 1980 bertujuan memberi dorongan kepada pelajar Terengganu untuk terus meningkatkan prestasi akademik kokurikulum dan sahsiah diri.

Berdasarkan rekod peperiksaan SPM 2022, Terengganu mengekalkan kecemerlangan dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.59 mengatasi Gred Purata Nasional 4.74.

Seramai 333 calon atau 2.07 peratus daripada keseluruhan 18,747 calon yang menduduki peperiksaan itu memperoleh keputusan cemerlang semua A berbanding 321 calon pada tahun 2021.

Bagi kategori STPM pula, Terengganu berjaya mengekalkan tradisi kecemerlangan apabila pencapaian keputusan STPM 2022 terbaik kebangsaan bagi tempoh empat tahun berturut-turut bermula 2019 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.04.

Seramai 2,178 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan itu pada 2022 di mana seramai 112 calon memperoleh keputusan cemerlang semua A.

Selain itu, Terengganu merekodkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan STAM dengan memperoleh Gred Purata Nasional (GPN) 3.13 berbanding 3.15 pada tahun 2021.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!