Lebih 6,000 'hotspot' banjir, tanah runtuh, kepala air dikenal pasti - APM
MACHANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenal pasti terdapat lebih 6,000 'hotspot' bencana di seluruh negara.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk (PA) Aminurrahim Mohamed berkata, ia melibatkan banjir, kawasan tanah runtuh dan kepala air.
"Pada masa sama, kita (APM) turut menjalinkan bekerjasama dengan MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta agensi lain dalam mengenal pasti kawasan 'hotspot' terbabit," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan Serta Kecemerlangan APM Negeri Kelantan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang di sini.
Menurut beliau, Johor, Kedah dan Perak antara negeri yang menjadi perhatian pihaknya dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana tahun ini.
Katanya, selain itu negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu turut diberikan keutamaan.
"Bagaimanapun ia akan dikemas kini biasanya pada bulan Oktober nanti semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dilaksanakan.
"Ia dijadualkan pada 3 Oktober ini di Kota Tinggi, Johor yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri," katanya.
Menurut beliau, pada mesyuarat tersebut juga akan dimaklumkan bila Monsun Timur Laut (MTL) akan bermula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!