16 negara sertai MAHA 2024 - Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (dua,kiri) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan bersama media sempena 100 Tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS pada Isnin. Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (dua,kiri) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan bersama media sempena 100 Tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Pempamer dari 16 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Rusia akan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bermula 11 hingga 22 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara negara lain yang turut menyertai pameran dwitahunan bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ itu ialah Thailand, Brunei, Indonesia dan Hong Kong.

"Pempamer-pempamer luar ini akan bawa dan tunjukkan pelbagai barangan dan peralatan yang bersangkut paut dengan aspek pertanian termasuk melibatkan teknologi terkini seperti AI (Kecerdasan Buatan) dan Internet benda (IoT).

"Kita juga berazam untuk pastikan MAHA ini menjadi satu daya tarikan bagi meningkatkan penglibatan anak-anak muda dalam bidang pertanian dengan mengetengahkannya sebagai satu perusahaan yang mampu menjana pendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan penganjuran MAHA 2024 di MAEPS di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Mohamad berkata, setakat ini persiapan penganjuran MAHA 2024 berjalan dengan baik termasuk mendapat kerjasama utuh daripada semua pihak terlibat.

"Saya boleh katakan lokasi dah 90 peratus bersedia untuk mula menerima kehadiran pengunjung bermula Rabu ini dengan baki kira-kira dua hari ini kita akan bekerja 24 jam untuk pastikan segalanya disempurnakan.

"Baki 10 peratus persiapan itu pun cuma melibatkan sentuhan akhir misalnya melepaskan anak-anak ikan ke dalam kolam, membawa masuk haiwan ternakan ke kawasan pameran selain menanam pokok-pokok bersifat sensitif yang lebih baik dilakukan pada waktu hampir dengan tarikh MAHA bermula,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang berusaha supaya operasi pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dilanjutkan bagi memudahkan kedatangan pengunjung memandangkan pameran itu dibuka hingga 10 malam.

"Dengan publisiti yang hebat, aspek pengangkutan baik, kita yakin ini akan meningkatkan kehadiran pengunjung ditambah tarikan lain seperti pertunjukan cahaya, pertunjukan air selain konsert daripada selebriti tanah air pada sebelah malam,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!