SUKIPT 2024: UUM sapu bersih lapan emas acara golf

Mohd Foad (tujuh dari kanan) bersama pasukan golf UUM yang berjaya meraih lapan emas pada SUKIPT 2024.
Mohd Foad (tujuh dari kanan) bersama pasukan golf UUM yang berjaya meraih lapan emas pada SUKIPT 2024.
A
A
A

TUAN rumah Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024, Universiti Utara Malaysia (UUM) melakarkan kejutan apabila menyapu bersih lapan pingat emas dalam lapan kategori sukan golf yang dipertandingkan pada Isnin.

Lapan kategori tersebut adalah individu gross lelaki, individu gross wanita, individu nett lelaki, individu nett wanita, berpasukan gross lelaki, berpasukan nett lelaki, berpasukan nett wanita dan berpasangan gross wanita.

Pengarah Akademi Golf Nasional (AGN) UUM, Prof Madya Dr Zaheruddin Othman berkata, sumbangan emas dan perak oleh pelajar AGN itu akan menjadi perangsang kepada kontinjen UUM dalam SUKIPT pada kali ini.

Menurutnya, pada temasya SUKIPT dua tahun lalu, UUM hanya mendapat empat emas, namun kali ini semua emas berjaya dibolot.

“Kemenangan ini sangat manis kerana UUM menyambut ulang tahun ke-40 dan membuktikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bahawa pemilihan UUM sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Golf sangat bertepatan.

“Saya sendiri tidak menjangka UUM boleh memenangi semua emas dalam acara golf kerana pesaing daripada institusi pendidikan tinggi lain tidak kurang hebatnya,” katanya pada Isnin.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan hadir menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Kelab Golf Sultan Sallehuddin UUM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Penolong Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Tony Azman.

Artikel Berkaitan:

Dalam empat hari pertarungan sengit itu, pelajar AGN, Sharif Aimanuddin Sharif Zainal Abidin dengan handikap lapan mengumpulkan 208 mata sekali gus dinobatkan sebagai pemenang pingat emas bagi kategori individu nett lelaki.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Ikhmal Hakim dari UKM dengan bermain 212 pukulan, manakala tempat ketiga dimenangi Muhammad Azahari Amir dari UUM (215 pukulan).

Bagi kategori individu nett wanita, pelajar AGN UUM, Nurul Ameera Najwa Zainuddin memenangi pingat emas dengan bermain 205 pukulan, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad (UMPSA), Myra Sofea Muhammad Sofee dan Lee Jia Huey.

Dalam kategori individu gross lelaki dan individu gross wanita, UUM memenangi semua pingat daripada emas, perak dan gangsa.

Pemain gross lelaki terdiri daripada Muhammad Farez Azihan yang memenangi emas, Mohd Kall Danish (Perak) dan Hariz Hezr (gangsa).

Pemain gross wanita pula diwakili Charlayne Chong Shin Ling yang memenangi emas, Valerie Vanessa Langkap (perak) dan Nur Maisara Saad (gangsa).

Bagi kategori kumpulan nett lelaki, pelajar UUM yang menyumbang emas diwakili Sharif Aimanuddin Sharif Zainal Abidin, Nathaniel Cheang Chun Ther, Muhammad Azahari Amir dan Wan Amirul Afiq Wan Rosni.

Bagi kategori nett wanita pula, pelajar UUM yang menyumbang emas ialah Murul Ameera Najwa Zainuddin, Nurul Adawiyah Abdul Jalil, Nur Aqeelah Najihah dan Nurul Fazlyana Mohd Azihan.

UUM turut mendapat emas bagi kategori gross lelaki yang diwakili Muhammad Farez Azihan, Mohd Kall Danish, Hariz Hezri dan Muhammad Muadz Mohd Nadzir, manakala emas untuk kategori gross wanita diwakili Charlayne Chong Shin Ling, Valerie Vanessa Langkap, Zaty Umairah Abdul Halim dan Nur Maisara Saad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!