Ibu, anak tergantung 15 minit, flying fox tersangkut

Video tular papar usaha menyelamat dua beranak tersangkut ketika menjalankan aktiviti flying fox di Taman Tasik Shah Alam.
Video tular papar usaha menyelamat dua beranak tersangkut ketika menjalankan aktiviti flying fox di Taman Tasik Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita bersama anaknya berdepan detik cemas apabila tersangkut hampir 15 minit ketika menjalankan aktiviti flying fox di Taman Tasik Shah Alam.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi perkongsian video berdurasi lebih dua minit difahamkan berlaku pada Ahad.

Menerusi video berkenaan memaparkan dua beranak itu tergantung pada ketinggian 30 meter dan sedang diselamatkan salah seorang kakitangan pengendali aktiviti lasak terbabit.

Operasi menyelamat berjaya dan mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kejadian itu.

Menerusi temu bual yang dikongsikan, mangsa dikenali sebagai Puan Amalina mengakui agak cemas berdepan situasi tersebut, namun cuba menenangkan diri untuk mengelak panik.

"Keadaan tergantung sudah teruk tapi kalau panik kita tak tahu apa akan berlaku selepas itu jadi perlu kekal tenang.

Dua beranak tersangkut ketika aktiviti flying fox di Tasik Shah Alam.
Dua beranak tersangkut ketika aktiviti flying fox di Tasik Shah Alam.

"Ini adalah pengalaman pertama berdepan situasi tersebut namun sebelum ini sudah biasa dengan aktiviti lasak jadi kejadian ini tidak terasa sangat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti flying fox itu semakin popular selepas perkongsian di media sosial oleh pengguna yang telah mencuba aktiviti lasak itu.

Susulan penularan video tular itu, beberapa pengguna media sosial mempersoalkan tahap keselamatan selain kebenaran anak kecil mengikuti aktiviti lasak tersebut.

"Sejak bila anak kecik boleh diajak buat aktiviti berbahaya ini. Mohon pihak berkuasa buat siasatan terhadap ibu ini.

"Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana orang yang mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin ia akan menyebabkan berlakunya kecederaan fizikal dan emosi atau didedahkan sedemikian jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20, 000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya," komen James Brune Mans.

Seorang lagi pengguna media sosial, Ramsya Akram turut tidak bersetuju tindakan si ibu membawa anak mengikuti aktiviti berkenaan kerana berisiko.

"Membahayakan nyawa anak. Kalau pun emak memang 'kaki' (peminat sukan lasak).

"Emak-emak fikir panjang kalau nak melibatkan anak. Nanti kalau ada yang meragut nyawa barulah aktiviti ini diberhentikan.

"Nanti adalah yang cakap makcik duduk rumah diam-diam," komen beliau di Facebook Mingguan Wanita.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung aspek keselamatan terutama membabitkan kanak-kanak yang dibawa mengikuti aktiviti tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!