Isu 3R: Anwar bidas tuduhan kerajaan zalim

Anwar ketika berucap merasmikan merasmikan Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral pada Isnin. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anwar ketika berucap merasmikan merasmikan Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral pada Isnin. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap pemimpin parti pembangkang yang mengatakan kerajaan pimpinannya terlalu zalim kerana tidak boleh membicarakan isu berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

Beliau berkata, perkara itu tidak benar selagi ia tidak menimbulkan hasutan dan ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum.

“Sebab apapun alasan dan kalau saya diserang oleh media antarabangsa, saya tidak akan tolak ansur demi keselamatan rakyat dan negara ini.

“Tetapi Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus lebih arif, bahayanya kalau undang-undang itu terlalu longgar maka kemungkinan untuk mana-mana penguasa atau tokoh politik menyalahgunakannya untuk mempertahankan kedudukan mereka itu ada.

“Maka sebab itu undang-undang perlu diteliti untuk mengelakkan salah guna kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral pada Isnin.

Anwar mengambil contoh isu melibatkan pendakwaan yang melibatkan serangan terhadap raja-raja.

“Dalam Majlis Raja-Raja Melayu mereka bangkitkan, mereka bukan terlibat dengan politik, mereka tidak mudah untuk menjawab serangan setiap hari dan sekiranya kecaman itu dibuat ia akan menjejaskan tunggak Perlembagaan negara kita.

“Maka tentunya tindakan harus diambil dan ini sudah disepakati, tidak ada parti dalam negara yang mempertikai keperluan kita untuk tidak menghujat dan menggugat sistem raja di negara kita,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebab itu tindakan diambil walaupun luar bidang eksekutif dan siasatan dilakukan pihak PDRM.

“Saya sengaja lontarkan perkara ini kepada rakan-rakan dalam Suhakam supaya memahami bahawa ada permasalahan yang harus kita hadapi.

“Bagaimana negara yang sekarang ini aman dan stabil politiknya,ekonominya sedang dipacu dengan bergaya dan hubungan diplomatik dengan negara jiran cuba digugat.

“Umpamanya Pulau Pinang viral beberapa ketika dulu kononnya ke arah dikristiankan bagaimana kita hadapi hal-hal sebegini.

“Apakah boleh ada pemahaman tentang kebebasan sahaja atau apakah mungkin untuk selamatkan negara ini daripada hasutan orang-orang terdesak, jadi kita adakan undang-undang supaya jangan keterlaluan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!