SG4: Risiko pertindihan agensi sedia ada

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Adib Faisal)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Adib Faisal)
A
A
A

KOTA BHARU - Penubuhan syarikat SG4 memberi gambaran jelas bahawa kerajaan negeri di empat negeri terbabit tidak meletakkan kepercayaan kepada agensi sedia ada.

Koordinator Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan), Adib Faisal Yaacob berpendapat, sebenarnya perkara itu boleh diurus oleh syarikat yang sudah ditubuhkan oleh kerajaan negeri masing-masing secara usahasama jika melibatkan kerjasama silang negeri.

Menurut beliau, kerjasama antara Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis boleh dilakukan dengan melibatkan memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkasakan agensi sedia ada.

"Pembinaan jaringan kerjasama antara empat negeri itu dalam kluster yang ditetapkan merupakan perkembangan yang menarik tetapi boleh merisikokan pertindihan dengan agensi yang sudah ada di setiap negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, penubuhan syarikat baharu juga boleh memungkinkan pertindihan bidang kuasa serta kos operasi projek yang berlipat ganda dalam keadaan yang tidak perlu.

Sebelum ini dilaporkan lima kluster yang disepakati dalam Resolusi Persidangan SG4 iaitu infrastruktur dan logistik, perdagangan, pelaburan dan industri, pertanian dan sekuriti makanan, pendidikan dan modal insan serta sumber dan pendapatan baharu.

Beliau turut berpendapat, belanjawan Kelantan khususnya yang mengalami defisit turut menyebabkan kos operasi berkembang dua kali ganda jika terbabit dalam SG4.

"Kami tidak mahu usaha SG4 ini menjadi umpama tiada beban, batu digalas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!