Lelaki parah diserang beruang ketika memikat burung

Seorang lelaki parah selepas diserang seekor beruang ketika melakukan aktiviti memikat burung di hutan berhampiran Kampung Dalam Senduk di Jerek, Gua Musang pada Ahad.
Seorang lelaki parah selepas diserang seekor beruang ketika melakukan aktiviti memikat burung di hutan berhampiran Kampung Dalam Senduk di Jerek, Gua Musang pada Ahad.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki parah selepas diserang seekor beruang ketika melakukan aktiviti memikat burung di hutan berhampiran Kampung Dalam Senduk di Jerek dekat sini pada Ahad.

Mangsa, Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, mengalami luka di bahagian kaki dan kepala akibat cakaran haiwan liar terbabit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, pada jam 9.57 malam pihaknya telah menerima aduan daripada seorang lelaki memaklumkan anak lelakinya telah diserang haiwan liar.

"Mangsa didapati tidak sedarkan diri akibat kecederaan yang dialami sebelum lelaki terbabit dibawa ke Klinik Jerek untuk mendapatkan rawatan dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

"Pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka akibat dicakar haiwan liar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, lelaki berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) bagi tindakan lanjut.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah ke lokasi kejadian untuk mengenalpasti haiwan terlibat dan memasang perangkap.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika keluar bekerja dan bergerak secara berkumpulan bagi mengelak diserang haiwan liar," katanya

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!